Orang ramai memakai pelitup muka ketika bersiar-siar di sekitar pusat beli-belah Pavilion, Bukit Bintang ketika cuti Hari Krismas pada 25 Disember 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Jangkitan Covid-19 meningkat 3,543 kes hari ini

KUALA LUMPUR, 6 JAN: Kes baharu COVID-19 terus meningkat hari ini kepada 3,543 kes berbanding 3,270 kes semalam, menjadikan kes kumulatif dijangkiti wabak itu adalah 2,776,699 setakat 12 tengah hari tadi.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada jumlah kes baharu itu, 53 kes adalah kategori tiga, empat dan lima manakala, 3,490 kes lagi ialah kategori satu dan dua.

“Kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah 253 manakala kes memerlukan bantuan pernafasan adalah 130,” katanya menerusi satu kenyataan berhubung perkembangan COVID-19 hari ini.

Mengenai jumlah kes sembuh, Dr Noor Hisham berkata 3,484 kes dicatatkan menjadikan jumlah kumulatif pulih daripada jangkitan wabak itu adalah 2,705,292 kes.

Beliau berkata tujuh kluster baharu turut dikenal pasti dengan 190 kluster masih aktif setakat ini, sementara nilai kadar kebolehjangkitan (Rt) di negara ini mencatatkan 0.97, semalam.

Selain itu, Dr Noor Hisham berkata tiada pertambahan kes COVID-19 baharu melibatkan mangsa banjir, dan jumlah kes kekal 465 kes.

Beliau berkata 33 kes penyakit berjangkit dikesan dalam kalangan mangsa banjir terdiri daripada 22 kes Jangkitan Saluran Pernafasan Akut, penyakit kulit (10) dan Acute Gastroenteritis (satu).

— BERNAMA

 


Pengarang :