Jemaah memenuhi ruang solat ketika khutbah Jumaat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 21 Januari 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Jemaah sambut baik kebenaran guna ruang sepenuhnya tunai solat Jumaat

SHAH ALAM, 21 JAN: Jemaah Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (Masjid Negeri) di sini menyambut baik kebenaran menggunakan sepenuhnya ruang solat bermula hari ini.

Tinjauan SelangorKini mendapati kebenaran itu diguna sebaik mungkin dengan ramai jemaah memasuki Masjid Negeri dengan masing-masing masih kekal mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ketika menunaikan solat sunat Jumaat.

Petugas masjid juga masih memantau dengan memastikan jemaah yang hadir lengkap divaksinasi serta mendaftar MySejahtera.

Roslan Khairudin, 50. Foto MUSTAKIM RAMLI/SELANGORKINI

Pekerja sektor gas dan minyak, Roslan Khairudin, 50, berkata ini adalah peluang terbaik buat umat Islam kembali menunaikan solat Jumaat.

“Mungkin ada yang tidak berkesempatan jadi ini adalah masanya. Gunakan ruang masjid yang besar untuk kembali melakukan perkara yang wajib.

“Saya harap ia dikekalkan, saranan untuk rapatkan saf bagi saya waktu ini belum sesuai cuma pastikan SOP dikekalkan,” katanya hari ini.

Hairul Hakimi Ahmad, 36. Foto MUSTAKIM RAMLI/SELANGORKINI

Pekerja bank, Hairul Hakimi Ahmad, 36, berkata kebenaran ini adalah titik pemulaan positif buat umat Islam mengerjakan ibadah secara berjemaah.

“Saya harap dalam tempoh tiga, empat minggu ini kita lihat perkembangannya jika tiada kes membabitkan jemaah adalah lebih baik kita rapatkan saf.

“Jika perkara lain mudah sahaja dibenarkan, jadi kita mudahkan juga urusan mereka yang ingin beribadah,” katanya.

Noor Zulhaziq Noor Zulhilmi, 16. Foto MUSTAKIM RAMLI/SELANGORKINI

Bagi pelajar Noor Zulhaziq Noor Zulhilmi, 16, kebenaran ini secara tidak langsung dapat mengelaknya dari terlepas menunaikan solat Jumaat.

“Sebelum ini kena daftar mengikut aplikasi jika terlewat memang akan terlepas dan perlu cari masjid lain.

“Alhamdulilah kebenaran ini memudahkan semua pihak dan harap ia akan terus kekal seperti ini,” katanya.

Pada 18 Januari lalu, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor berkenan membenarkan penggunaan sepenuhnya ruang solat dan ruang limpah masjid serta surau bagi menunaikan solat Jumaat.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) berkata Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj turut berkenan membenarkan penetapan jarak satu meter antara jemaah.


Pengarang :