Jemaah umrah yang baru pulang ke tanah air menunggu proses saringan kesihatan dan pemakaian peranti penjejak digital di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada 30 Disember 2021. Foto Facebook Dr Noor Hisham Abdullah
AGENDANASIONAL

Jemaah umrah diarah buat RT-PCR sebelum berlepas pulang, tiba di Malaysia

SHAH ALAM, 1 JAN: Jemaah umrah yang akan pulang ke Malaysia perlu melakukan ujian pantas polimeras masa nyata (RT-PCR) dua hari sebelum tarikh berlepas dan pada hari ketibaan.

Ketua Pengarah Kesihatan berkata mereka juga perlu menjalani perintah pengawasan dan pemerhatian selama tujuh hari di stesen kuarantin berkuat kuasa 3 Januari ini.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah turut memaklumkan sekiranya bergejala, jemaah umrah perlu melakukan saringan pengesanan menggunakan RTK Antigen (RTK-Ag).

Jemaah juga diarah sekali lagi melakukan ujian RT-PCR pada hari kelima dan diberi pelepasan daripada kuarantin pada hari ke lapan sekiranya tiada pelanjutan dan keputusan saringan pada hari kelima negatif.

Hari ini, kerajaan memutuskan menangguhkan sementara kebenaran perjalanan mengerjakan ibadah umrah bermula 8 Januari ini bagi membendung penularan varian Omicron Covid-19.

Menteri Kesihatan memaklumkan sebanyak 1,306 kes atau 11.76 peratus daripada 11,108 jemaah umrah dikesan positif Covid-19 sehingga 30 Disember lalu.

Khairy Jamaluddin berkata daripada jumlah tersebut, 592 kes dikesan positif pada ujian pertama semasa hari ketibaan di Malaysia dan 714 kes dikesan pada ujian kedua yang dijalankan pada hari kelima kuarantin.


Pengarang :