Selangorkini
Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Zailani Hashim menyampaikan ucapan semasa majlis pelancaran duit syiling kenangan ulang tahun ke-75 JPJ di Putrajaya pada 2 November 2021. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

JPJ lancar ujian memandu secara elektronik April

PUTRAJAYA, 17 JAN: Sistem e-testing, yang mengukur prestasi calon melalui ujian memandu secara elektronik dan menjana keputusan ujian memandu secara terus akan dilancarkan April ini, kata Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Zailani Hashim.

Beliau berkata sistem berkenaan kini di peringkat pembuktian konsep (POC) dan dijangka dilancarkan ketika sambutan ulang tahun JPJ ke-76 pada April ini.

Katanya bilangan pegawai penguji akan berkurangan apabila sistem e-testing dilaksanakan kerana ia hanya memerlukan dua penguji sahaja berbanding tujuh ketika ini memandangkan proses itu akan dibantu gajet teknologi.

“Keputusan ujian akan dapat diketahui pada masa itu juga berbanding dua minggu ketika ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Amanat Tahun Baharu 2022 di sini hari ini.

Zailani berkata sistem tersebut masih melibatkan pembelajaran dalam kelas, litar dan jalan raya namun terdapat perubahan untuk pembelajaran sesi di litar iaitu pegawai dan calon tidak duduk sekali di dalam kereta.

Menurutnya sistem seumpama itu sudah dipraktikkan di negara seperti Korea dan Jepun manakala Malaysia sedang menuju ke arah tersebut bagi meningkatkan kecekapan perkhidmatan dan kebolehpercayaan masyarakat terhadap sistem pengujian lesen memandu.

Dalam merealisasikan usaha pendigitalan, Zailani berkata JPJ juga sedang berusaha ke arah pendigitalan Lesen Kenderaan Motor dan Lesen Memandu Malaysia bagi membolehkan urusannya dilaksanakan secara hibrid secara berperingkat.

“Ia (pendigitalan) mampu mengurangkan kesesakan di kaunter malah urusan pembaharuan juga boleh dibuat secara dalam talian di mana-mana sahaja dan pada bila-bila masa iaitu perkhidmatan di hujung jari,” katanya.

Zailani dalam pada itu berkata JPJ menyasarkan kutipan hasil tahun ini meningkat kepada RM4.12 bilion berbanding RM4 bilion tahun lepas menerusi pendigitalan.

Menurutnya, tahun ini JPJ akan mendapat 100 unit kiosk tambahan untuk ditempatkan di JPJ negeri dan cawangan seluruh negara serta lokasi terpilih seperti Kementerian Kewangan dan Jabatan Perdana Menteri, selain diberikan peruntukan 20 van bergerak (Mobile JPJ) bagi tujuan mobiliti di lapangan.

“Dengan adanya kemudahan dan bajet tambahan seumpama ini, maka saya yakin dan percaya hasrat JPJ untuk mengutip hasil sebanyak RM4.12 bilion pada 2022 mampu dicapai,” katanya.

Zailani berkata JPJ berjaya mengutip RM7.4 juta daripada pemberian diskaun saman 80 peratus sempena sambutan Aspirasi Keluarga Malaysia yang kemudiannya dilanjutkan hingga 31 Disember lepas.

– BERNAMA


Pengarang :