JOHOR BAHRU, 16 JAN: Jumlah mangsa banjir yang berada di pusat pemindahan sementara (PPS) di Segamat menurun sedikit kepada 74 orang setakat 4 petang ini berbanding 77 individu, pagi tadi.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri R Vidyananthan berkata hanya sebuah PPS iaitu Sekolah Agama Gemereh masih beroperasi di daerah itu melibatkan penduduk terjejas dari Kampung Kebangsaan Gemereh akibat banjir termenung.
“Situasi semakin pulih dengan dua PPS iaitu Balairaya Gemereh, Batu Badak dan Dewan Serbaguna Jalan Genuang yang bertindak sebagai persediaan bagi perintah pengawasan dan pemerhatian telah ditutup masing-masing pada 9 pagi dan 1 petang tadi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Vidyananthan turut menasihati penduduk yang tinggal berhampiran Sungai Bekok, Empangan Bekok di Batu Pahat agar berjaga-jaga memandangkan sungai tersebut kekal pada tahap waspada dengan bacaan 16.41 meter.
Beliau berkata cuaca di Johor Bahru mendung ketika ini, manakala sembilan daerah yang lain dilaporkan cerah.
– BERNAMA