Anggota bomba memindahkan mangsa banjir di Kampung Kelanang, Banting pada 3 Januari 2022. Foto Facebook Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor
AGENDA NASIONAL

Jumlah mangsa banjir di pusat pemindahan empat negeri meningkat, Selangor kekal

KUALA LUMPUR, 3 JAN: Jumlah mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di Johor, Pahang, Melaka dan Negeri Sembilan terus mencatat peningkatan petang ini, manakala Selangor kekal dan Sabah merekodkan penurunan.

Di Johor, jumlah mangsa meningkat kepada 4,278 orang setakat 4 petang ini berbanding 4,062 orang tengah hari tadi, dengan Muar menjadi daerah terbaharu terjejas banjir.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor R. Vidyananthan dalam kenyataan hari ini berkata seramai 52 mangsa terjejas banjir di Muar, dan kini ditempatkan di dua PPS iaitu Dewan Serbaguna Felcra Bukit Kepong dan Dewan Semai Bakti Felda Maokil.

“Jumlah keseluruhan PPS yang dibuka di negeri ini ialah 70 PPS melibatkan lapan daerah terjejas iaitu Segamat, Tangkak, Kota Tinggi, Johor Bahru, Kluang, Mersing, Batu Pahat dan Muar.

“Segamat terus mencatatkan mangsa tertinggi iaitu 3,344 orang diikuti Mersing (395), Kota Tinggi (203), Tangkak (161), Kluang (71), Muar (52), Batu Pahat (50) dan Johor Bahru (2),” katanya sambil menambah keadaan cuaca di seluruh negeri dilaporkan mendung.

Di Pahang, bilangan mangsa banjir meningkat petang ini apabila Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri melaporkan, seramai 2,572 mangsa masih ditempatkan di 55 PPS berbanding 2,252 mangsa berada di 54 PPS, tengah hari tadi.

Daerah Temerloh merekodkan jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu 625, diikuti Lipis (539), Rompin (390), Kuantan (357), Raub (279), Jerantut (185), Pekan (113), Maran (70) dan Bera (14).

Sembilan jalan masih ditutup antaranya Jalan Sungai Lembing di Kuantan, Jalan Kuala Lumpur-Kuantan (Maran), Jalan Kuantan-Segamat (Pekan), Jalan Ulu Dong (Raub) dan Jalan Kuala Lipis-Jerantut (Jerantut).

Sementara itu, laman web publicinfobanjir.water.gov.my pula melaporkan paras air di tiga stesen telah melepasi tahap bahaya setakat 4 petang ini iaitu Paya Gintong di Jerantut, Sungai Luit di Kampung Subuh (Maran) dan Sungai Serting di Jambatan Padang Gudang (Bera).

Di Melaka, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 2,621 mangsa daripada 674 keluarga petang ini berbanding 2,555 mangsa daripada 659 keluarga, tengah hari tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Melaka Lt Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata kesemua mangsa yang terjejas adalah dari 14 kawasan di Alor Gajah, sembilan kawasan di Melaka Tengah dan sembilan kawasan di Jasin.

“Seramai 1,034 mangsa daripada 272 keluarga ditempatkan di 10 PPS di Alor Gajah, 1,418 mangsa daripada 362 keluarga ditempatkan di sembilan PPS di Melaka Tengah serta 169 mangsa daripada 40 keluarga ditempatkan di empat PPS di Jasin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Di Negeri Sembilan, data terkini menerusi aplikasi InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menunjukkan mangsa banjir meningkat kepada 2,073 individu membabitkan 568 keluarga dengan 21 PPS dibuka setakat 4 petang ini berbanding 2,040 individu (558 keluarga), tengah hari tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gemas Mohd Farid Abu Bakar berkata paras air di Sungai Gemas ketika ini masih berada pada tahap amaran bahaya, namun aras air sedikit menurun berbanding hari pertama banjir dua hari lepas.

Di Selangor, aplikasi Info Bencana JKM memaklumkan jumlah mangsa banjir kekal seramai 40 orang melibatkan dua PPS di Daerah Kuala Langat iaitu Dewan Orang Ramai Kampung Kelanang dengan 25 mangsa dan Balai Raya Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Banting (15 mangsa).

Ketua Polis Daerah Kuala Langat Supt Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh ketika dihubungi berkata kerja-kerja membaik pulih dua ban oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor di Kampung Rancangan Tanah Baharu (RTB) Bukit Changgang dan Labohan Dagang dekat Kuala Langat juga telah selesai kira-kira 2.30 petang tadi.

JPS juga memaklumkan setakat 3.45 petang tadi aras air Sungai Langat di Bukit Changgang, Kuala Langat masih berada pada aras bahaya pada ketinggian 4.21 meter dengan trend menurun.

Pada masa sama, Ahmad Ridhwan turut menasihati orang awam supaya sentiasa berwaspada ekoran cuaca yang tidak menentu dan amaran air pasang besar yang telah dikeluarkan pihak berkuasa bermula semalam selama empat hari sehingga Rabu ini.

Di Sabah, jumlah mangsa banjir sedikit menurun kepada 3,329 daripada 1,231 keluarga petang ini berbanding 3,398 daripada 1,236 keluarga, tengah hari tadi, berikutan penutupan PPS Masjid Nur Iman Sunagi Sandakan, pada 3 petang tadi.

Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Sabah memaklumkan 26 PPS lagi masih dibuka di enam daerah, melibatkan Kota Marudu, Pitas, Telupid, Paitan, Sandakan dan Beluran.

Kota Marudu mencatatkan jumlah mangsa banjir paling ramai berada di PPS iaitu seramai 2,765 mangsa daripada 1,061 keluarga yang ditempatkan di 13 PPS, diikuti Pitas (216 mangsa daripada 94 keluarga di empat PPS), Telupid (159 mangsa, 34 keluarga di tiga PPS), Paitan (102 mangsa daripada 24 keluarga di tiga PPS), Sandakan (46 mangsa, tujuh keluarga di satu PPS) dan Beluran (41 mangsa, 11 keluarga di satu PPS).

– BERNAMA


Pengarang :