Selangorkini
Penduduk meredah banjir ketika tinjauan di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam pada 21 Disember 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
RENCANA WAWANCARA

Kaji faktor geologi dalam persiap langkah hadapi bencana – pakar

Oleh Nurqalby Mohd Reda

KUALA LUMPUR, 7 JAN: Bah besar luar jangka yang melanda Lembah Klang, khususnya di Taman Sri Muda dan juga Hulu Langat baru-baru ini, berpotensi untuk berulang di kawasan terbabit kerana kriteria fizikal yang mempengaruhi bencana itu sudah dipenuhi, kata pakar geologi.

Malah, menurut seorang pakar, bencana serupa boleh berlaku di kawasan-kawasan lain, dan mahu tidak mahu masyarakat amnya, perlu sentiasa bersedia untuk hidup dengan bencana sekalipun kawasan mereka tidak pernah menghadapi situasi itu buat masa ini.

“Bencana alam memang akan berlaku melalui proses-proses eksogen di permukaan bumi. Namun, pembangunan yang tidak mampan dan tidak dikawal selia degan baik, memburukkan lagi proses hakiki ini menerusi tekanan tambahan kepada permukaan tanah dan kitaran hidrologi.

“Atas sebab itu, limpahan banjir dan tanah runtuh yang pada asasnya merupakan elemen normal tindak balas eksogen, berubah skala menjadi sesuatu yang besar dan bersifat bencana apabila tanah (baik di kawasan tinggi mahupun landai) diteroka dengan tidak terkawal,” jelas pakar geologi kejuruteraan dan mekanik tanah Dr Nor Shahidah Mohd Nazer kepada Bernama.

(Eksogen adalah proses seperti hakisan, penyusutan jisim, pemendapan dan luluh hawa tanah yang mengubah permukaan bumi)

Mangsa banjir mengeluarkan barang yang rosak akibar banjir di Kampung Sungai Serai, Hulu Langat pada 19 Disember 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

KRITERIA FIZIKAL

Mengambil contoh Taman Sri Muda, pensyarah kanan di Jabatan Sains Bumi dan Alam Sekitar, Universiti Kebangsaan Malaysia itu berkata kawasan tersebut mempunyai paras air bawah tanah yang cetek, justeru mudah digenangi air kerana kapasiti penyimpanan air oleh tanah yang rendah.

“Kedudukan kawasan yang lebih landai daripada kawasan landai lain memburukkan lagi keadaan. Selain itu, wujud tanah tinggi gambut dan lempung marin di kawasan Shah Alam, iaitu dua komponen yang menyebabkan tanah sangat lembut dan tidak stabil dengan potensi pemendapan serta kadar memegang air yang tinggi.

“Jadi, apabila banjir, kawasan sebegini akan paling mudah terjejas dan menyebabkan air bergenang,” jelas Nor Shahidah.

Menurut beliau, tekanan ke atas permukaan tanah dan kitaran hidrologi disebabkan pembangunan bukan perkara baharu, sebaliknya telah rancak berlaku sejak zaman pascamerdeka menerusi penerokaan hutan di beberapa negeri di Malaysia untuk dibangunkan sebagai kawasan perbandaran.

Susulan perkembangan itu, beberapa siri kejadian banjir direkodkan termasuk yang besar pada 1971, menandakan pengaruh manusia mula menampakkan kesan kepada alam sekitar, katanya.

“Perlu difahami, sistem sungai merupakan satu rantaian berkesinambungan dan berhubung dengan sistem sungai yang lain. Jadi, tidak menghairankan apabila kapasiti sungai di satu-satu kawasan meningkat, sistem sungai di kawasan lain yang terletak berpuluh kilometer jauhnya turut terkesan.

“Hujan ekstrem yang turun menambah kapasiti limpahan air melebihi biasa dan pelbagai faktor seperti sistem perparitan lemah, zon tidak telap air dan ketepuan tanah, menambah buruk kejadian banjir. Kejadian air pasang juga menyebabkan aliran air dari sungai ke laut terhenti seketika dan kekal bergenang di daratan,” jelas beliau.

Situasi banjir yang melanda sekitar Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal, Melaka ketika tinjauan pada 3 Januari 2022. Foto BERNAMA

KAJI SEMULA PEMBANGUNAN

Mengambil kira keadaan semasa termasuk perubahan iklim, beliau menyarankan agar pembangunan di kawasan-kawasan berisiko, terutama yang boleh memberi tekanan kepada sistem tanah dan hidrologi, dihadkan.

Bandar yang pesat membangun misalnya, perlu mengehadkan jumlah projek mega agar kesemuanya tidak berjalan secara serentak, di samping mengawal selia projek-projek berskala kecil yang diluluskan.

“Jika ini berlaku, kemungkinan besar skala bencana dan impaknya terhadap rakyat dapat dikurangkan dengan drastik,” kata Nor Shahidah.

Selain itu, pengurusan bencana banjir perlu dilaksanakan dengan pelan kontigensi yang terancang termasuk memperluas zon tebatan banjir, mengambil kira faktor hujan ekstrem dan kadar ketepuan tanah selepas hujan.

“Contohnya di Pakistan. Negara itu mengalami banjir terburuk dalam sejarahnya pada 2010 dan 2011, dan keadaan tersebut berterusan hingga dua tahun selepas itu kerana faktor ketepuan tanah yang masih tinggi akibat banjir 2010.

“Perkara yang sama boleh berlaku di Malaysia jika kita tidak memastikan sistem tanah dan sungai di kawasan yang pernah dinaiki air banjir bersedia menerima hujan lebat yang akan turun di masa akan datang,” katanya sambil menegaskan pembinaan kawalan berstruktur amat perlu untuk membantu penyeimbangan semula kapasiti takungan air di sesuatu kawasan terjejas.

Ujar beliau, sekalipun rakyat perlu belajar hidup dengan bencana, kerajaan juga harus memastikan pengurusan bencana berada pada tahap optimum berserta pelan kawalan banjir yang komprehensif, disesuaikan mengikut keadaan geologi, geografi dan sosioekonomi kawasan.

Tahap kesiapsiagaan rakyat juga perlu dipertingkat melalui hebahan maklumat yang pantas selain melatih mereka agar sentiasa berwaspada terhadap amaran yang dikeluarkan pihak berkuasa, katanya.

Penduduk menggunakan bot untuk melakukan aktiviti harian berikutan kawasan kediaman masih banjir sejak seminggu lalu ketika tinjauan di Kampung Tersang, Rantau Panjang, Kelantan pada 29 Disember 2021. Foto BERNAMA

SISTEM TEBATAN

Nor Shahidah juga berpendapat sudah tiba masa untuk kerajaan mengkaji semula sistem mitigasi yang ada kerana sistem tersebut wujud sejak era 80-an dan 90-an dengan kebanyakannya tidak membuat unjuran kepesatan pembangunan dan populasi penduduk terkini.

Ini termasuk sistem terowong SMART yang dilihat sebagai antara sistem terkedepan ketika mula beroperasi pada 2007.

Selepas 15 tahun beroperasi, kemampuan terowong ini perlu dikaji semula dengan mengambil kira perkembangan semasa, katanya, menambah di Jepun, pakar negara itu turut meragui kemampuan sistem terowong mega bawah tanah di Tokyo yang beroperasi sejak 2006, dalam menampung perubahan iklim yang ekstrem.

“Jika sistem negara lain dengan kapasiti yang jauh lebih besar turut terkesan oleh perubahan iklim, apatah lagi kita. Tambahan pula, kedudukan negara yang terletak berdekatan garis lintang khatulistiwa menyebabkan taburan hujan negara kita adalah lebih banyak dan lebat,” kata beliau.

Pandangan serupa turut dikongsikan oleh pensyarah kanan di Fakulti Kejuruteraan Awam Universiti Teknologi MARA Ir Ts Azinoor Azida Abu Bakar yang berpendapat teknologi yang diguna pakai sejak sedekad lalu mungkin sudah tidak lagi sesuai dengan keadaan semasa.

“Impak perubahan iklim dan akibat cuaca ekstrem menyebabkan pendekatan dan penyelesaian terbaik dalam mencegah dan menguruskan bencana alam berubah dari semasa ke semasa. Teknologi yang digunakan pada 10 tahun lepas berkemungkinan menjadi tidak relevan untuk digunakan pada masa kini dan akan datang.

“Berikutan perubahan iklim dan pembangunan pesat yang kita hadapi sekarang dan di masa depan, bencana banjir mungkin akan berlaku dengan lebih kerap dan teruk berbanding masa lalu… Oleh itu, strategi yang lebih efektif perlu dilaksanakan untuk memastikan bencana ini dapat ditangani,” katanya.

Beliau berkata antara langkah terbaik adalah dengan menyediakan infrastruktur tebatan banjir bagi perlindungan yang lebih komprehensif.

Katanya, pendekatan yang dibuat kerajaan menerusi Jabatan Pengairan dan Saliran dilihat menitikberatkan pengurusan banjir secara efektif dan efisien apabila menggunakan kaedah hard dan soft engineering yang bertujuan mengurangkan risiko serta kesan negatif banjir di seluruh negara.

Jelas beliau, kaedah ‘hard engineering’ memberi tumpuan pada kerja kejuruteraan seperti pembinaan empangan, kolam takungan, benteng sungai, lencongan sungai, memperdalam dan melebarkan sungai, jajaran semula sungai serta menyediakan sistem pam.

“… walaupun perhatian lebih diberi kepada pembinaan infrastruktur, pengalaman (bencana) lepas yang telah diperoleh menunjukkan bahawa strategi itu perlu disokong oleh langkah-langkah soft engineering (kaedah mesra alam) supaya dapat menyelesaikan masalah banjir secara berkesan dan menyeluruh,’’ katanya.

Azinoor Azida berpendapat ‘kaedah kawalan di punca’ melalui penggunaan Manual Saliran Mesra Alam (MSMA) bagi kawasan pembangunan baharu boleh mewujudkan kawasan landskap yang telap air.

“Menerusi saliran mesra alam ini, air hujan akan terkumpul di dalam tasik atau kolam buatan yang dibina di sesebuah kawasan pembangunan dan akan hanya dilepaskan ke dalam sistem saliran sedia ada apabila hujan berhenti untuk mengelakkan banjir.

“Kaedah seperti ini juga perlu diperluaskan, (kerana) selain mewujudkan landskap telap air, ia juga dapat melestarikan alam sekitar di samping memperkenalkan dan mempromosikan konsep living with floods,” katanya.

Mengulas lanjut, Azinoor Azida berkata peningkatan kawasan tidak telap air disebabkan pertambahan kawasan urbanisasi seperti kawasan perumahan, perbandaran dan jalan raya, turut menyebabkan air larian permukaan bertambah mendadak apabila berlakunya hujan lebat.

Justeru katanya, sistem perparitan dalaman sedia ada perlu dinaik taraf bagi menampung kadar hujan yang semakin meningkat.

– BERNAMA


Pengarang :