Antara kakitangan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) yang terjejas teruk akibat banjir menerima sumbangan barangan elektrik pada 7 Januari 2022. Foto Facebook MBPJ
PBTSELANGOR

Kakitangan MBPJ terjejas banjir terima barangan elektrik

SHAH ALAM, 9 JAN: Kakitangan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) yang teruk terjejas akibat banjir pada 18 Disember lalu menerima bantuan barangan elektrik.

MBPJ berkata barangan berupa peti ais, mesin basuh, televisyen, periuk nasi, thermos, kipas dan dapur gas disumbang badan korporat dan orang perseorangan melalui program tanggungjawab sosial.

“Diharapkan sumbangan ikhlas ini sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban mangsa banjir khususnya kakitangan MBPJ sendiri untuk bangkit meneruskan kehidupan yang baharu.

“Tidak ketinggalan, sumbangan berupa barangan terpilih turut diberikan kepada jiran berdekatan,” tulisnya di Facebook.

Menurut MBPJ, Datuk Bandar Mohamad Azhan Md Amir menyampaikan sumbangan itu kepada kakitangan yang tinggal di Puchong, Dengkil dan Hulu Langat.

Manakala kakitangan yang tinggal di Taman Sri Muda dan Bukit Lanchong, Shah Alam pula menerimanya melalui Timbalan Datuk Bandar Sharipah Marhaini Syed Ali.


Pengarang :