Pekerja KDEB Waste Management (KDEBWM) menjalakan kerja pembersihan pascabanjir di Taman Sri Muda pada 31 Disember 2021. Foto MUSTAKIM RAMLI/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

KDEBWM angkut 3,000 tan metrik sampah pascabanjir dari Sri Muda

SHAH ALAM, 1 JAN: Hampir 3,000 tan metrik sampah pukal pascabanjir dikeluarkan KDEB Waste Management (KDEBWM) dari Taman Sri Muda di sini semalam.

Pengarah Urusannya Ramli Mohd Tahir berkata angka itu berdasarkan pertambahan hingga 220 lori bagi kerja pembersihan di kawasan berkenaan.

“Semalam (30 Disember) di sini sahaja kita berjaya keluarkan sampah hampir 960 tan metrik dan apabila keupayaan ditingkatkan tiga kali ganda, kita berjaya mengangkut kira-kira 3,000 tan metrik.

“Selain 220 lori bersaiz 7.5 tan, kita juga sewa 32 lori 10 tan untuk bawa sampah pukal ke stesen pemindahan sementara (TS), 38 jentera pengaut dan juga menempatkan hampir 400 pekerja,” katanya selepas meninjau kerja pembersihan di Taman Sri Muda di sini.

Pengarah Urusan KDEB Waste Management (KDEBWM) Ramli Mohd Tahir. Foto MUSTAKIM RAMLI/SELANGORKINI

Ramli berkata berikutan kawasan terjejas di Taman Sri Muda luas pihaknya membahagikannya kepada empat zon dengan setiap zon mempunyai empat TS sementara.

“Saya memohon maaf kerana kami hanya dapat masuk pada 25 Disember lalu kerana ketika itu air mulai surut dan apabila masuk kita sedar ia kawasan yang besar melibatkan 9,700 rumah dan 179 kilang.

“Saya berpandangan setakat ini telah berjaya keluarkan 50 peratus sampah dan kita rancang akan terus bekerja seminggu ini, Insya-Allah kita akan selesaikan,” katanya.

Sehingga Khamis lalu, kerja pembersihan bermula 25 Disember di situ mencapai kira-kira 35 hingga 40 peratus dan bakinya dijangka dapat diselesaikan dalam tempoh seminggu lagi.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180 milimeter, mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.


Pengarang :