Pengarah Urusan KDEB Waste Management (KDEBWM) Ramli Mohd Tahir bersama seorang petugas melihat timbunan sisa pascabanjir di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam pada 5 Januari 2022. Foto ZAREEF MUZAMMIL/SELANGORKINI
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

KDEBWM hasrat urus sampah kilang di semua PBT tahun ini

SHAH ALAM, 8 JAN: KDEB Waste Management (KDEBWM) bercadang mengambil alih pengurusan sampah kilang di seluruh pihak berkuasa tempatan (PBT) hujung tahun ini.

Pengarah Urusannya Ramli Mohd Tahir berkata tindakan itu bagi mengurangkan aduan kes sampah haram yang kerap dilaporkan di negeri ini.

Beliau menjelaskan sebanyak dua PBT diuruskan pihaknya setakat ini iaitu Majlis Perbandaran Kuala Langat dan Majlis Daerah Kuala Selangor.

“Kes sampah haram merata di Selangor dan disebabkan tidak mahu ia berlaku, kita rancang untuk memperluas lagi kawasan pengurusan sampah melibatkan kilang,” katanya.

Bercakap dalam program Bual Bicara di SelangorTV malam tadi, Ramli berkata KDEBWM turut berhasrat menambah pusat kitar semula di semua PBT bagi melestarikan pengurusan sampah.

“Kita ada buat kajian dan insya-Allah akan diumumkan iaitu membangunkan satu medium loji lestari yang boleh menghasilkan tenaga daripada sampah,” katanya.

Syarikat pengendali sisa pepejal negeri itu mengambil alih sepenuhnya pengurusan kutipan sampah domestik di semua PBT di Selangor pada Januari 2020.

Anak syarikat Kerajaan Negeri itu juga giat membersihkan kawasan terjejas banjir di beberapa daerah sejak 20 Disember secara berperingkat.

 


Pengarang :