Pengarah Urusan KDEB Waste Management (KDEBWM) Ramli Mohd Tahir bersama seorang petugas melihat timbunan sisa pascabanjir di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam pada 5 Januari 2022. Foto ZAREEF MUZAMMIL/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

KDEBWM laksana pembersihan pascabanjir besar-besaran di Sri Muda Sabtu ini

SHAH ALAM, 5 JAN: KDEB Waste Management (KDEBWM) akan menjalankan operasi pembersihan pascabanjir secara besar-besaran di Taman Sri Muda, Seksyen 25 di sini Sabtu ini.

Pengarah urusannya berkata program sehari dengan kerjasama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi mengembalikan keceriaan kawasan dihuni hampir 10,000 penduduk yang terjejas teruk akibat bencana baru-baru ini.

Beliau menjelaskan operasi turut disertai pihak berkuasa tempatan (PBT), sukarelawan dan badan bukan kerajaan (NGO) menumpukan kerja pembersihan longkang, jalan termasuk saki-baki sisa tinggalan musibah.

“Semalam kita mengadakan mesyuarat di KPKT, Insya-Allah akan dibuat program pembersihan mega sebaik proses kutipan sampah pukal banjir selesai dijangka Sabtu ini.

“Ini bukan kerja mudah, jadi kerjasama dengan pihak berkaitan amat diperlukan memandangkan Taman Sri Muda adalah kawasan terakhir dan paling banyak sampah akibat banjir,” kata Ramli Mohd Tahir kepada pemberita di sini hari ini.

Pengarah Urusan KDEB Waste Management (KDEBWM), Ramli Mohd Tahir ketika diwawancara Media Selangor mengenai makluman terkini pengurusan sisa pepejal pasca banjir di pejabat KDEB, Shah Alam pada 27 Disember 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Sementara itu, beliau memaklumkan proses kutipan sampah pascabanjir dari Taman Sri Muda mencapai 90 peratus, dengan jangkaan selesai sepenuhnya pada Sabtu.

Jelas Ramli, sebanyak 1,000 tan metrik sampah pukal dikeluarkan dari kawasan terbabit setiap hari.

“Proses ini akan selesai apabila penduduk tidak lagi membuang sampah. Mungkin hari ini mereka keluarkan 60 peratus dan selebihnya esok, jadi jangan terperanjat jika kawasan tersebut masih ada sampah,” katanya.


Pengarang :