Pengarah Urusan KDEBWM Ramli Mohd Tahir melihat timbunan sisa pascabanjir di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam pada 5 Januari 2022. Foto ZAREEF MUZAMMIL/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

KDEBWM mahu tambah aset pembersihan, siap siaga ketika kecemasan

SHAH ALAM, 5 JAN: KDEB Waste Management (KDEBWM) berhasrat menambah aset pembersihan untuk digunakan ketika kecemasan terutama musim banjir, kata pengarah urusannya.

Mengambil iktibar bencana pada 17 Disember lalu, Ramli Mohd Tahir berkata sebanyak RM12 juta dibelanja untuk menyewa lori 10 dan 40 tan bagi mengangkut sampah pukal.

“Kita terpaksa menyewa lori untuk mengangkut sisa pukal dari kawasan terjejas ke pusat pengumpulan sampah sementara dan tapak pelupusan di Jeram, Kuala Selangor dengan kos RM12 juta,” katanya ketika ditemui selepas meninjau operasi pembersihan di Taman Sri Muda di sini hari ini.

Ramli berkata sebanyak 500 lori Roll on Roll off (RoRo) digerakkan ke seluruh lokasi terjejas sejak dua minggu lalu.

“Mana-mana kawasan yang selesai proses pembersihan, lori terbabit akan dibawa ke lokasi lain supaya kerja pembersihan lancar dan cepat,” kata Ramli.

Syarikat pengurusan sisa pepejal milik Kerajaan Negeri itu membersihkan kawasan terjejas banjir di beberapa daerah sejak 20 Disember secara berperingkat.

Antara lokasi yang selesai dibersihkan ialah Petaling Jaya, Sepang, Kuala Langat, Kuala Selangor dan Kajang manakala Shah Alam, Subang Jaya serta Klang dijangka Sabtu ini.

Setakat ini, sebanyak 44,500 tan sisa banjir dikutip di semua kawasan terjejas.


Pengarang :