Antara kesan banjir yang dapat dilihat setelah air surut ketika tinjauan situasi banjir di Kampung Belimbing Dalam, Alor Gajah, Melaka pada 6 Januari 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Keadaan banjir di beberapa negeri bertambah baik, jumlah mangsa berkurang

KUALA LUMPUR, 7 JAN: Secara keseluruhan keadaan banjir bertambah baik dengan jumlah mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS) di empat negeri iaitu Pahang, Melaka, Sabah dan Negeri Sembilan mencatatkan penurunan malam tadi.

Di Pahang, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri melaporkan jumlah mangsa banjir sedikit berkurangan setakat 8 malam dengan 933 orang masih ditempatkan di 27 PPS berbanding 954 di 29 PPS petang semalam yang melibatkan daerah Temerloh, Pekan, Maran, Bera dan Rompin.

Beberapa laluan masih ditutup antaranya Jalan Bohor Baru di Bera, Jalan Ibam-Kampung Aur (Rompin), Jalan Teluk Ganchong Lepar (Pekan) dan Jalan Serengkam (Maran).

Laman sesawang publicinfobanjir.water.gov.my pula melaporkan aras air Sungai Bera dan Sungai Serting di Bera serta Sungai Pahang di Kuala Sungai Chini, Pekan kekal melepasi paras bahaya.

Di Melaka, jumlah mangsa turut menyaksikan penurunan kepada 408 orang daripada 108 keluarga setakat 8 malam berbanding 418 orang daripada 111 keluarga pada 4 petang semalam.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Melaka Leftenan Kolonel (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata kesemua mangsa yang terjejas adalah dari satu kawasan di Alor Gajah membabitkan Kampung Belimbing Dalam dan empat kawasan di Jasin iaitu Kampung Parit Penghulu Benteng, Kampung Lanchang, Kampung Tersusun Rambai Jaya dan Kampung Parit Putat Benteng.

Katanya banjir di Melaka Tengah pulih sepenuhnya apabila kesemua mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing semalam.

Di Sabah, jumlah mangsa banjir berkurangan kepada 202 orang daripada 50 keluarga malam tadi berbanding 281 orang daripada 63 keluarga petang semalam.

Dua lagi PPS ditutup masing-masing satu di Sandakan dan Paitan apabila kesemua mangsa banjir dibenarkan pulang ke rumah mereka.

Penutupan itu menyaksikan sebanyak 23 PPS ditutup di Sabah setakat malam tadi termasuk di Kota Marudu, Pitas, Telupid dan Beluran.

Setakat malam tadi, seramai 182 orang daripada 46 keluarga berada di enam PPS di Telupid manakala satu PPS di Paitan menempatkan 20 orang daripada empat keluarga.

Di Negeri Sembilan, jumlah mangsa banjir juga menyaksikan penurunan setakat 8 malam berdasarkan laporan aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat dengan 69 individu membabitkan 17 keluarga di tiga PPS berbanding 221 individu daripada 59 keluarga petang semalam.

Kawasan rumah masih digenangi air ketika tinjauan di Kampung Parit Dahlan dan kawasan sekitar daerah Tangkak, Johor pada 6 Januari 2022. Foto BERNAMA

Di Johor, PPS terakhir di Mersing ditutup sekali gus menjadikan hanya empat daerah terjejas akibat banjir.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor R Vidyananthan berkata bagaimanapun, jumlah mangsa sedikit meningkat kepada 4,065 orang setakat 8 malam berbanding 3,985 petang semalam.

“Segamat masih mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 2,464 orang diikuti Muar (809), Tangkak (739) dan Batu Pahat (53),” menurutnya dalam kenyataan.

Beliau juga berkata Sungai Muar di Buloh Kasap, Segamat; Sungai Muar di Kampung Olak Sepam, Muar; Sungai Muar di Panchor, Muar dan Sungai Gemas di Muara Sungai Gemas, Segamat yang masih berada pada paras bahaya menunjukkan trend penurunan.

Katanya bagaimanapun, Sungai Muar di Bukit Kepong, Muar yang berada pada paras bahaya mengalami trend peningkatan manakala Sungai Plentong, Johor Bahru yang juga di paras bahaya kini dalam keadaan statik.

– BERNAMA

 


Pengarang :