Dato’ Seri Amirudin Shari menyerahkan bakul makanan untuk mangsa banjir di Johor kepada Timbalan Pengerusi MPN KEADILAN Johor, Jimmy Puah Wee Tse di Johor Bahru, Johor pada 16 Januari 2022. Foto Twitter Jimmy Puah Wee Tse
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

KEADILAN Selangor sumbang 1,000 bakul makanan untuk mangsa banjir di Johor

SHAH ALAM, 17 JAN: Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Selangor menyediakan sebanyak 1,000 bantuan makanan bagi membantu meringankan beban mangsa banjir di Johor.

Sumbangan itu disampaikan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari kepada Timbalan Pengerusi MPN KEADILAN Johor Jimmy Puah Wee Tse semalam di Johor Bahru, Johor.

“Terima kasih kepada Dato’ Menteri Besar Selangor (Amirudin) atas kesudian menyumbang 1,000 bakul makanan untuk mangsa banjir di Johor dan luang masa bersama anggota parti,” kata Jimmy di Twitter hari ini.

Tujuh daerah di negeri itu meliputi Segamat, Mersing, Kota Tinggi, Kluang, Tangkak, Johor Bahru dan Batu Pahat terjejas banjir sejak akhir Disember hingga awal Januari.

Selangor turut mengalami banjir besar pada 18 Disember yang mengakibatkan puluhan ribu penduduk terjejas. Kerajaan Negeri kemudian menyediakan pelbagai bantuan bagi meringankan beban mangsa antaranya sumbangan RM10,000 kepada waris korban bah dan RM1,000 kepada mangsa banjir.


Pengarang :