Situasi banjir ketika tinjauan di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam pada 20 Disember 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kerajaan Negeri umum kaedah atasi isu banjir Mac ini

GOMBAK, 24 JAN: Kerajaan Negeri akan mengumumkan kaedah mengatasi masalah banjir pada Mac ini, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata beliau akan mengumumkannya pada persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) selepas menilai segala cadangan pada bulan depan.

“Ini adalah pelan jangka panjang kita untuk menyediakan sistem saliran yang lebih berkemampuan dalam menampung air dan hujan yang tinggi.

“Ia akan dibentangkan pada akhir bulan dua dalam retreat kita nanti dan insyallah sebahagiannya saya akan umumkan pada Mac ini dalam sidang DNS,” katanya semalam.

Beliau berkata selain itu Kerajaan Negeri juga akan memberi tumpuan bantuan kepada golongan petani dan peniaga kecil yang terjejas akibat banjir pada Disember lalu.

Katanya, bantuan itu akan diberikan selepas Bantuan Selangor Bangkit (BSB) berjumlah RM1,000 dan bantuan persekolahan selesai diberikan.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Sumbangan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI di Surau Malabar Hidayatul Islam, Selayang di sini.

Pada program itu Amirudin menyampaikan sumbangan RM50,000 kepada Sekolah Taman Permata yang mengalami kebakaran, sumbangan RM20,000 kepada Pertubuhan Kebajikan Anak-anak Yatim Ummi Selangor dan bantuan bakul makanan.

Beliau kemudian meluangkan masa lebih sejam di Surau Al-Karimiah, Kampung Laksamana untuk menunaikan solat Asar dan beramah mesra bersama jemaah.

 


Pengarang :