Air Selangor pembekal tunggal perkhidmatan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kerja baiki paip pecah siap, bekalan air disalur berperingkat

SHAH ALAM, 26 JAN: Pembaikan paip pecah di Seksyen 15 di sini, akibat kerja pembangunan jalan oleh pihak ketiga berdekatan Lebuhraya Persekutuan siap dilaksanakan, maklum Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

Ketua komunikasi korporatnya berkata bekalan air akan disalur berperingkat kepada premis pengguna dan dijangka pulih sepenuhnya jam 9 pagi esok.

“Tempoh masa pemulihan bekalan air kepada pengguna adalah berbeza dari satu kawasan ke kawasan lain bergantung kepada lokasi dan jarak premis pengguna,” kata Elina Baseri dalam kenyataan.

Beliau berkata bantuan alternatif melalui lori tangki digerakkan ke kawasan terjejas yang mengutamakan premis kritikal sepanjang tempoh gangguan tidak berjadual.

Menurutnya, orang ramai diminta mematuhi penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka semasa mendapatkan bekalan air daripada lori tangki.

“Air Selangor juga ingin menasihati pengguna untuk menggunakan air secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan bekalan air di kawasan yang terjejas berjalan lancar seperti yang dijadualkan,” katanya.

Terdahulu, insiden paip pecah berpunca kerja pembangunan jalan oleh pihak ketiga menjejaskan bekalan air di 142 kawasan di Petaling dan Klang.

Maklumat terkini dimaklumkan melalui semua saluran komunikasi Air Selangor termasuk Facebook, Instagram, Twitter dan laman sesawang www.airselangor.com.

-tamat


Pengarang :