Orang awam mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dengan memakai pelitup muka dan mengimbas MySejahtera sebelum memasuki sebuah pasar raya di ibu kota pada 23 Mei 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kes baharu Covid-19 turun kepada 2,690 hari ini

KUALA LUMPUR, 3 JAN: Jumlah kes baharu harian Covid-19 dalam negara menurun kepada 2,690 kes, menjadikan jumlah kumulatif setakat 12 tengah hari kini 2,767,044 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada jumlah kes baharu itu, 52 kes adalah kategori tiga, empat dan lima manakala bakinya kategori satu dan dua.

“Sebanyak 265 kes memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) manakala 147 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan Covid-19 hari ini.

Beliau berkata bagi kes sembuh pula, sebanyak 3,535 kes dicatatkan menjadikan jumlah kumulatif pulih ialah 2,695,751 manakala tiga kluster baharu dilaporkan dengan jumlah kluster aktif sebanyak 206.

Menurut Dr Noor Hisham terdapat peningkatan kes baharu jangkitan COVID-19 sebanyak 2.3 peratus atau 23,071 pada Minggu Epidemiologi (ME) ke-52 (26 Dis 2021 hingga 1 Jan 2022), berbanding 22,554 kes pada ME ke-51, setelah penurunan kes dicatatkan lima minggu berturut-turut sejak ME ke-46.

Bagaimanapun, katanya purata kes aktif mencatatkan penurunan sebanyak 15 peratus dengan purata 40,963 kes pada ME ke-52, selain penurunan kes kematian sebanyak 18.2 peratus dan kes memerlukan rawatan di ICU turut menurun 18 peratus.

Sementara itu, beliau berkata Kementerian Kesihatan menegaskan jemaah umrah yang mendapat kebenaran menjalani kuarantin di rumah supaya tidak menerima kunjungan daripada ahli keluarga, sahabat dan jiran bagi mengelak penularan jangkitan Covid-19 kepada pelawat dan komuniti.

Pada 1 Jan, kerajaan memutuskan untuk menangguhkan sementara kebenaran perjalanan mengerjakan ibadah umrah bermula 8 Jan ini bagi membendung penularan varian Omicron Covid-19.

Turut diputuskan adalah kuarantin wajib di stesen kuarantin atau hotel yang telah dikenal pasti sebagai stesen kuarantin oleh pihak Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) bagi jemaah umrah yang pulang ke Malaysia bermula hari ini.

Mengenai situasi semasa bencana banjir, Dr Noor Hisham memaklumkan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 dalam kalangan mangsa banjir ialah 461 iaitu pertambahan satu kes baharu setakat 3 petang tadi.

Beliau berkata sebanyak 39 kes penyakit berjangkit dikesan dalam kalangan mangsa banjir terdiri daripada 33 kes penyakit Jangkitan Saluran Pernafasan Akut (ARI), penyakit kulit (empat) dan Gastroenteritis Akut (AGE) (dua).

– BERNAMA

 


Pengarang :