Selangorkini
Petugas kesihatan sedang mengekstrak sampel dihantar ke pusat itu daripada aktiviti saringan Covid-19 dilakukan pejabat kesihatan daerah bagi mengesahkan status kes wabak, makmal pusat itu mampu memproses sehingga 5,000 sampel sehari di Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), Shah Alam pada 1 Julai 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDA NASIONAL

Kes harian Covid-19 menurun kepada 3,346, tiga kluster baharu dikesan

KUALA LUMPUR, 14 JAN: Kes baharu Covid-19 menurun kepada 3,346 hari ini berbanding 3,684 semalam, menjadikan kes kumulatif dijangkiti wabak itu adalah 2,802,263 setakat 12 tengah hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan kes sembuh pula adalah sebanyak 3,052, menjadikan jumlah kumulatif pulih daripada jangkitan wabak itu kini 2,729,943 kes.

“Daripada 3,346 kes harian dilaporkan hari ini, 3,297 kes (98.5 peratus) adalah terdiri daripada kategori satu dan dua manakala 49 kes (1.5 peratus) adalah kategori tiga, empat dan lima.

“Kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah 204 kes manakala kes memerlukan bantuan pernafasan adalah 95 kes,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata tiga kluster baharu turut dikenal pasti menjadikan jumlah kluster masih aktif setakat ini sebanyak 172, sementara nilai kadar kebolehjangkitan (Rt) di negara ini mencatatkan 1.00 semalam.

Selain itu, Dr Noor Hisham berkata terdapat satu kes positif Covid-19 baharu direkodkan dalam kalangan mangsa banjir hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif dalam golongan itu meningkat kepada 471 kes.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan turut mengesan satu kes penyakit berjangkit melibatkan mangsa bencana tersebut iaitu penyakit kulit.

“Jumlah kluster Covid-19 di pusat pemindahan sementara kekal satu kluster dan tiada pertambahan kluster baharu hari ini,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :