Aksi beberapa peserta Klinik Asas Bola Sepak di Stadium MBPJ pada 16 Januari 2022. Foto Team Selangor
BERITA UTAMASUKANKINI

Klinik Asas Bola Sepak Selangor tarik minat 200 peserta

SHAH ALAM, 18 JAN: Klinik Asas Bola Sepak anjuran Team Selangor dan FA Selangor di Stadium MBPJ semalam berjaya menarik minat 200 peserta.

Ketua Sekretariat Team Selangor Syahaizel Keman berkata penyertaan peserta berusia 7 hingga 12 tahun itu bertujuan memastikan Selangor FC mempunyai barisan pemain pelapis pada masa hadapan.

“Sambutan amat menggalakan apabila semakin ramai kanak-kanak berminat untuk menyertai klinik ini di samping ibu bapa juga turut memberi sokongan terbaik buat anak mereka.

“Program ini mampu memberi ruang kepada semua kelab komuniti dan pasukan tempatan memantau dan mendapatkan bakat mereka inginkan sebagai persediaan menyertai pertandingan bola sepak khususnya liga akar umbi di Selangor,” katanya kepada SelangorKini.

Pada masa sama, beliau berharap kehadiran ramai pemain cilik ini dapat menjadikan arena bola sepak Selangor terus bersinar pada masa hadapan.

Program yang diadakan pada Ahad melibatkan tiga sesi dengan penglibatan kira-kira 70 orang bagi setiap sesi.

Menurut Syahaizel pihaknya akan meneruskan lagi program itu supaya lebih ramai bakat muda dapat dicungkil sekali gus berjaya mengembalikan zaman gemilangnya pasukan gergasi merah.


Pengarang :