Selangorkini
Petugas Kesihatan Selcare memasukkan data sampel Covid-19 pada 23 Mei 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDA NASIONAL

Kluster pendidikan: 525 pelajar positif, 15 sekolah di Kedah ditutup

ALOR SETAR, 25 JAN: Sebanyak 15 sekolah di Kedah terpaksa ditutup sejak 18 Jan lepas berikutan 525 pelajar dan 25 guru di sekolah berkenaan dikesan positif Covid-19 ekoran penularan wabak itu yang membabitkan kluster pendidikan.

Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pendidikan dan Sumber Manusia Kedah Datuk Najmi Ahmad berkata 13 sekolah yang ditutup itu adalah sekolah asrama harian manakala dua lagi sekolah biasa.

Katanya, susulan situasi itu kerajaan negeri telah meminta Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah untuk terus memantau dan meningkatkan pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan bagi mengekang penularan Covid-19 di institusi pendidikan.

“Kita minta jabatan pendidikan negeri sentiasa memantau dan meningkatkan pengawasan di sekolah-sekolah dan meminta ibu bapa ambil perhatian dan bekerjasama bagi mengawasi penularan wabak itu.

Bagaimanapun, keadaan masih terkawal dan pelajar yang terlibat telah ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) termasuk di Dewan Wawasan, Jitra untuk rawatan dan tindakan lanjut,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Terdahulu beliau menghadiri Majlis Pelancaran Program Impak Intervensi Meningkatkan Pencapaian Aspirasi Kecemerlangan (IMPAK) SPM 2021 yang disempurnakan oleh Tunku Temenggong Kedah yang juga penaung program itu Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah sebelum ini memaklumkan sebanyak 10 kluster pendidikan dikesan membabitkan sekolah di beberapa daerah antaranya Pendang, Kulim, Kubang Pasu, Yan dan Kuala Muda.

Kesemua sekolah yang terlibat ditutup selama seminggu dan tempoh penutupan bergantung kepada hasil penilaian risiko di lokasi berkenaan.

Sementara itu, Najmi berkata masih terdapat seramai 162 daripada 30,400 orang guru sekolah rendah dan menengah di negeri itu masih belum menerima suntikan vaksin Covid-19 sehingga semalam.

Katanya guru berkenaan tidak dibenarkan bersemuka secara terus dengan pelajar dan mereka ditempatkan berasingan sebagai langkah menjamin keselamatan dan kesihatan murid serta guru lain.

“Ada memberi alasan kesihatan dan alasan mengikut pemikiran sendiri, buat masa ini kita bimbing dan pujuk mereka mempertimbangkan semula, sebab ianya menimbulkan banyak perkara lain apabila sekolah terpaksa sediakan tempat pengasingan dan membantutkan pembelajaran pelajar,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :