Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari meninjau model asrama pekerja asing ketika perasmian pecah tanah di Kawasan Perindustrian Kampung Baru Balakong, Hulu Langat pada 28 Januari 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kompleks kediaman jaga kebajikan pekerja, lindungi ancaman wabak

HULU LANGAT, 28 JAN: Lebih banyak kompleks kediaman pekerja akan dibangunkan Kerajaan Negeri bagi menjaga kebajikan golongan itu selain memudahkan pemantauan.

Dato’ Menteri Besar berkata pihaknya mengenal pasti tapak seluas 200 ekar yang akan dibina oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) pada tahun ini.

Jelas Dato’ Seri Amirudin Shari, kompleks itu bukan hanya menjaga kebajikan dan kesihatan pekerja khasnya warga asing tetapi mengawal penularan wabak seperti Covid-19.

“Ini menyahut saranan untuk membangunkan perumahan sistematik pekerja di Selangor, bantu proses pengawalan dan jaga kebajikan mereka mengambil iktibar penularan Covid-19.

“Garis panduan pembinaan disediakan Plan Malaysia yang akan digunakan sebaik mungkin, kita akan perbanyakkan lokasi selain dari 200 ekar disediakan PKNS sebelum ini,” katanya hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) bergambar selepas menandatangani plat Majlis Perasmian Pecah Tanah Pusat Asrama Pekerja Asing di Kawasan Perindustrian Kampung Baru Balakong, Hulu Langat pada 28 Januari 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Beliau yang ditemui pada Majlis Pecah Tanah Pusat Asrama Pekerja Asing di Kampung Baru Balakong menambah inisiatif menyediakan kediaman kondusif kepada pekerja turut disahut pengusaha industri.

Amirudin ketika membentangkan Belanjawan 2022 pada 26 November tahun lalu mengumumkan pembangunan Kompleks Perumahan Pekerja Selangor di lapan lokasi untuk menempatkan 60,000 pekerja.

Inisiatif itu memartabat hak asasi pekerja industri melalui penyediaan kediaman kondusif, sistematik, berpengurusan dan selamat dari aspek kesihatan menerusi sistem pengudaraan sesuai.

Selangor bakal menikmati manfaat melalui pengukuhan sektor ekonomi baharu, mengurangkan stigma terhadap pekerja asing, menyelesaikan isu sosial dan kesihatan.

Inisiatif dilaksanakan PKNS itu juga akan dilengkapi kedai dobi, restoran dan kedai runcit.

 


Pengarang :