Kabinet setuju memberi subsidi ayam, telur semua kategori sehingga Jun ini bagi menstabilkan kembali bekalan. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

KPDNHEP imbangi kenaikan harga ayam dan telur, elak lonjakan di pasaran

PUTRAJAYA, 8 JAN: Harga ayam dan telur akan melonjak naik lebih tinggi sekiranya tiada intervensi daripada kerajaan, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Justeru, beliau berkata kerajaan termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sentiasa mengambil langkah proaktif untuk mengimbangi kenaikan harga ayam dan telur di pasaran.

Antara langkah yang dilakukan termasuk pelanjutan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) sehingga 4 Feb ini, mengimport ayam bulat sejuk beku dan pemberian kemudahan pinjaman mudah kepada industri penternakan ayam negara bagi mengatasi masalah lonjakan harga ayam di pasaran.

Nanta berkata pelaksanaan SHMKM yang dijadualkan berakhir 31 Dis 2021 dilanjutkan selama 35 hari lagi, berkuat kuasa 1 Jan hingga 4 Feb 2022 dengan harga siling ayam ditetapkan sehingga 4 Feb 2022 pada RM6.10 sekilogram di peringkat ladang, RM7.80 sekilogram di peringkat borong dan RM9.10 sekilogram di peringkat peruncit.

Selain itu, usaha mengimport ayam bulat sejuk beku sehingga 10,000 tan metrik atau 5.5 juta ekor sebulan dan tindakan ini sedang diusahakan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi).

“Dengan penambahan bekalan di pasaran, situasi ini dapat menampung sebarang kekurangan bekalan ayam dan mewujudkan persaingan sihat yang seterusnya dapat mengawal dan mengimbangi harga ayam di pasaran,” katanya dalam laman Facebook beliau hari ini susulan kenyataannya berkenaan jangkaan kenaikan harga ayam dan telur di pasaran selepas SHMKM berakhir 4 Feb depan.

Menjelas lanjut, beliau berkata kenyataan itu bukan sengaja diada-adakan tetapi berdasarkan hasil maklumat yang diterima daripada sesi libat urus yang diadakan 6 Jan lepas bersama-sama Mafi, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Kementerian Kewangan, wakil Agrobank dan Persekutuan Persatuan-persatuan Penternak Malaysia (FLFAM).

Katanya setiap pihak telah membentangkan faktor kenaikan kos operasi penternakan ayam termasuk peningkatan kos makanan ayam di peringkat global dan kekurangan tenaga kerja akibat sekatan kemasukan pekerja asing bagi sektor tersebut.

Nanta berkata kerajaan juga memberi kemudahan pinjaman mudah atau soft loan kepada industri penternakan ayam negara bagi mengatasi masalah lonjakan harga ayam di pasaran dengan peruntukan bantuan sebanyak RM262 juta untuk membantu peladang yang terjejas akibat kenaikan harga baja dan racun.

“Daripada jumlah itu, sebanyak RM200 juta disediakan sebagai pinjaman agromakanan pada kadar sifar faedah dengan moratorium bayaran balik selama enam bulan melalui Agrobank dan Tabung Ekonomi Kumpulan Urus Niaga (TEKUN) Nasional untuk manfaat pengeluar agromakanan bagi menangani kos pengeluaran yang tinggi di peringkat ladang.

“Dengan adanya pemberian ‘soft loan’ atau pinjaman mudah ini, ia dapat membantu penternak dan peladang menyerap kos operasi dan pengeluaran yang tinggi ketika ini sekali gus boleh mengawal kenaikan harga ayam,” katanya.

Nanta menjelaskan isu kenaikan harga ayam ini yang melibatkan kos operasi yang dipengaruhi oleh pasaran dunia sememangnya amat mencabar dan memerlukan kerjasama pelbagai kementerian dan agensi.

“Bagaimanapun, KPDNHEP akan terus memantau kenaikan harga dari semasa ke semasa dan memberi jaminan akan mengambil tindakan yang sewajarnya bagi menjaga kebajikan kedua-dua pihak iaitu pengguna dan peniaga,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :