Wakil rakyat Subang Jaya Michelle Ng Mei Sze (tengah) dan Pengerusi Kumpool Goh Chun Hean (kiri) bergambar di hadapan e-panggilan bas ulang-alik pada 26 Januari 2022. Foto ihsan Michelle Ng Mei Sze
ADNSELANGOR

Kumpool Ride pusing Subang Jaya, atasi sesak di lokasi padat

SHAH ALAM, 27 JAN: Perkhidmatan e-panggilan bas ulang-alik diperkenal di Dewan Undangan Negeri (DUN) Subang Jaya bagi menyurai kesesakan trafik dan parkir di kawasan berkenaan.

Dengan kadar serendah RM1, pengguna boleh mendapatkan akses pengangkutan lebih mudah, selesa dan selamat setiap hari dari jam 8 pagi hingga 8 malam, kata wakil rakyatnya.

Menurut Michelle Ng Mei Sze, lebih 200 hentian disediakan meliputi tempat tumpuan, stesen bas, Transit Aliran Ringan (LRT) dan kawasan perumahan yang padat.

“Ciri-ciri e-panggilan yang digunakan ialah sistem tempahan melalui aplikasi dan penjejakan bas untuk mengenal pasti masa ketibaan secara tepat.

“Jika dibandingkan dengan sistem e-panggilan sedia ada, ia juga lebih murah memandangkan penetapan kadar pada RM1,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, pengerusi Kumpool berkata perkhidmatan tersebut mendapat sambutan baik dalam kalangan warga emas, pelajar dan ibu bapa sejak dilancar akhir Disember tahun lalu.

Goh Chun Hean menjelaskan kebanyakan ibu bapa mempercayai khidmat pengangkutan itu untuk menghantar anak-anak ke sekolah berikutan lokasinya boleh dikesan melalui aplikasi.

“Saya yakin pengangkutan ini dapat mengubah cara perjalanan orang ramai dan bakal menjadi salah satu perkhidmatan terkemuka dalam industri pengangkutan awam di Malaysia,” katanya.

Aplikasi Kumpool beroperasi di Johor sejak 2020 dan diperluas ke kawasan lain secara berperingkat. Sistem itu boleh dimuat turun di Apple Store atau Google PlayStore.


Pengarang :