DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj diiringi DYMM Tengku Permaisuri, Tengku Permaisuri Norashikin dan DYTM Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berangkat pada majlis Istiadat Pengurniaan Darjah dan Bintang Kebesaran Sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan ke-76 DYMM Sultan Selangor di Balairung Seri, Istana Alam Shah, Klang pada 22 Januari 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kurniaan pingat Sultan Selangor tingkat motivasi buat kebajikan

KLANG, 22 JAN: Pengurniaan darjah kebesaran oleh Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor menguatkan lagi azam Pengerusi Pertubuhan Amal Team membantu lebih ramai golongan kurang berkemampuan.

Mohd Zulhairi Zainol berkata beliau dan pasukannya aktif membantu masyarakat kurang bernasib baik sejak enam tahun lalu dengan menguruskan jenazah secara percuma, memberi makanan dan menghantar pesakit ke hospital.

Pengerusi Pertubuhan Amal Team Mohd Zulhairi Zainol. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Menurutnya, Pertubuhan Amal Team juga bersama Jabatan Agama Islam Selangor menguruskan pengebumian pesakit Covid-19 bagi mengurangkan kesesakan di bilik mayat ketika kes wabak memuncak.

“Pengiktirafan ini sebagai ganjaran dan menjadi pendorong serta motivasi untuk lebih giat membantu individu memerlukan.

“Kami menjunjung kasih kepada Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj yang menghargai peranan pertubuhan bukan kerajaan membantu masyarakat dengan memberi pengiktirafan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima Darjah Kebesaran Ahli Sultan Sharafuddin Idris Shah (A.I.S) daripada Sultan Sharafuddin.

Pingat itu disampaikan pada Istiadat Pengurniaan Darjah dan Bintang Kebesaran Sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan ke-76 DYMM Sultan Selangor di Balairung Seri, Istana Alam Shah di sini hari ini.

Pada istiadat itu, seramai 87 individu menerima darjah dan bintang masing-masing.


Pengarang :