Selangorkini
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor Saipolyazan M Yusop (kanan) menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir Sewah Samidjo, 65, di Kampung Bukit Lanchong pada 11 Januari 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Kutipan zakat Selangor hampir RM1 bilion, bantu orang susah makin meningkat

SHAH ALAM, 11 JAN: Lembaga Zakat Selangor (LZS) memperoleh kutipan zakat hampir RM1 bilion tahun lalu, melebihi sasaran RM900 juta.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Saipolyazan M Yusop berkata perolehan tersebut akan digunakan sebaiknya untuk membantu asnaf fakir dan miskin termasuk individu terkesan akibat pandemik dan banjir.

“Kutipan kita lebih 10 peratus daripada jangkaan. Alhamdulillah, terima kasih kepada pembayar zakat kerana terus menyokong LZS dalam membantu masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas turun padang bagi program bancian dan semakan kelayakan baik pulih rumah mangsa bencana di Kampung Bukit Lanchong dekat sini hari ini.

Sementara itu, Saipolyazan menjangkakan bilangan asnaf fakir dan miskin di Selangor tahun ini meningkat kepada 72,000 berbanding 65,000 orang ketika ini kesan daripada bencana dan penamatan moratorium.

“Berdasarkan rekod setakat ini, seramai 15,000 orang adalah miskin sementara akibat pandemik dan moratorium yang telah tamat. Mereka dibantu melalui kategori asnaf gharim,” katanya.


Pengarang :