Sukarelawan Team Selangor membantu membersihkan rumah penduduk yang terlibat banjir di Kampung Kenangan, Puchong pada 23 Disember 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Lebih 1,700 sukarelawan Team Selangor bantu cuci rumah, sedia makanan

SHAH ALAM, 4 JAN : Lebih 1,700 sukarelawan Team Selangor turun padang membersih kediaman dan menyediakan bakul makanan kepada mangsa terjejas banjir sejak 18 Disember lalu.

Ketua Sekretariatnya Syahaizel Keman berkata kebanyakan aktiviti tertumpu di daerah yang teruk dibadai bah iaitu Petaling, Kuala Selangor, Hulu Langat dan Kuala Langat.

“Sejak beberapa hari kebelakangan kita hanya membantu mencuci luar kediaman termasuk membuang sampah atau barangan perkakasan rumah yang musnah. Kebanyakan pemilik sudah membersihkan bahagian dalam.

“Sehingga kini, lebih 110 rumah sudah dibersihkan terutama kediaman golongan orang kelainan upaya (OKU) dan warga emas,” katanya ketika dihubungi.

Individu yang berminat menjadi sukarelawan Team Selangor boleh mendaftar di bit.ly/SkuadBencanaTeamSelangor atau sebarang pertanyaan boleh hubungi 013-530 3578.

Pada 18 Disember lalu, Kerajaan Negeri menggerakkan pasukan sukarelawan termasuk Team Selangor bagi membantu proses menempatkan penduduk yang terjejas ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pasukan sukarelawan turut mengagihkan bantuan awal kepada mangsa.

Sukarelawan Team Selangor bergotong-royong membersihkan kawasan dilanda banjir di Kampung Lombong, Shah Alam pada 26 Disember 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Pengarang :