Ruang solat bawah di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) mangsa banjir. Tinjauan pada 24 Disember 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDA NASIONAL

Lebih 2,000 mangsa banjir masih berlindung di PPS tiga negeri

KUALA LUMPUR, 11 JAN: Seramai 2,327 mangsa banjir masih berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) di Melaka, Pahang dan Johor setakat petang ini.

Di Melaka, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Melaka Leftenan Kolonel (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata mangsa banjir di negeri itu berkurangan kepada 112 orang daripada 33 keluarga pada 4 petang berbanding 124 orang daripada 36 keluarga pada 8 pagi dan kesemua mangsa ditempatkan di tiga PPS di Jasin.

Di Pahang, jumlah mangsa sedikit menurun pada sebelah petang kepada 61 orang berbanding 66 pagi tadi, menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri.

Mereka terdiri daripada 12 keluarga yang masih berada di Sekolah Kebangsaan Temai di Pekan, PPS terakhir di Pahang.

Di Johor, jumlah mangsa juga merosot kepada 2,154 orang setakat 4 petang berbanding 2,298 individu pada sebelah pagi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor R Vidyananthan berkata empat daerah masih terjejas banjir melibatkan 35 PPS dengan Muar mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 772 orang diikuti Segamat (746), Tangkak (555) dan Batu Pahat (81).

“Sebuah PPS iaitu Kompleks Sukan Pagoh di Muar telah ditutup namun PPS kawasan lapang Kampung Chodan di Segamat telah dibuka semula atas faktor keselamatan,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata cuaca di seluruh negeri kini dilaporkan cerah.

Laman Facebook Jabatan Kerja Raya (JKR) Segamat pula memaklumkan Jalan Pogoh-Bukit Kepong di Kampung Limau Manis, Segamat dibuka semula susulan banjir yang surut sepenuhnya.

“Bagaimanapun, Seksyen 14.7 hingga 16.4 di Felcra Pogoh Jalan Segamat-Bukit Kepong masih ditutup untuk semua jenis kenderaan susulan banjir sedalam 0.5 meter,” menurut JKR.

-BERNAMA


Pengarang :