Seorang guru memulakan sesi pembelajaran secara bersemuka bersama pelajar pada sesi persekolahan 2022 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ismail, Kota Bharu pada 9 Januari 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Lebih 300 sekolah termasuk Selangor terjejas banjir

SEGAMAT, 9 JAN: Lebih 300 sekolah di seluruh negara dikenal pasti terjejas akibat banjir dengan sebahagiannya telah dibuka bagi sesi persekolahan penggal ketiga bermula hari ini untuk kumpulan A.

Timbalan Menteri Pendidikan II Datuk Mohamad Alamin berkata sekolah yang masih belum dibuka itu disebabkan masih digenangi air, dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) atau masih dalam proses pembersihan.

Beliau berkata sekolah yang tidak dibuka mengikut jadual asal dijangka memulakan sesi persekolahan pada minggu hadapan.

“Ada sebahagian sekolah yang bermula hari ini di negeri kumpulan A dan ada beberapa yang belum dapat dibuka termasuk di Sabah, Pahang dan Selangor.

“Maklumat mengenai status sekolah ini akan dikemas kini oleh pejabat pendidikan daerah dari semasa ke semasa bagi menentukan pembukaan sekolah,” katanya kepada pemberita selepas meninjau kerja-kerja pembersihan di Sekolah Kebangsaan Pulau Paya yang terjejas akibat banjir, di sini, hari ini.

Justeru, beliau berharap agar semua pihak dapat membantu kerja pembersihan sekolah supaya sesi persekolahan dapat dijalankan mengikut perancangan.

Mohamad berkata sebanyak 46 sekolah di Johor dijadikan PPS iaitu 15 buah di Segamat, Tangkak (13), Muar (tujuh), Mersing (empat), masing-masing tiga di Kota Tinggi dan Batu Pahat, serta Kluang (satu) susulan kejadian banjir yang melanda sejak 1 Jan lepas.

Setakat pagi ini, 27 sekolah di Johor masih tidak beroperasi kerana dijadikan PPS dan masih digenangi air manakala 19 sekolah memulakan sesi persekolahan penggal ketiga hari ini.

Beliau turut menjelaskan kementerian tidak akan membebankan pelajar yang tidak dapat menyertai sesi persekolahan kali ini dan memberi mereka ruang untuk berhadapan dengan proses pascabanjir ini sebelum masuk semula ke sekolah apabila semuanya selesai.

Katanya, lebih 14,000 pelajar yang terjejas akibat banjir dibenarkan untuk memakai pakaian biasa ke sekolah dan Kementerian Pendidikan turut memberi jaminan bekalan buku teks mencukupi bagi menggantikan lebih 260,000 buku teks yang rosak akibat banjir.

-BERNAMA

 


Pengarang :