Keadaan rumah yang terjejas akibat banjir ketika tinjauan SelangorKini di Kampung Sijangkang, Kuala Langat pada 19 Disember 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Lebih 3,000 mangsa banjir di Sijangkang terima bantuan RM1,000, agihan selesai hujung bulan 

SHAH ALAM, 21 JAN: Bantuan Selangor Bangkit sebanyak RM1,000 kepada mangsa banjir sekitar  Sijangkang dijangka selesai hujung bulan ini.

Pengurus Dewan Undangan Negeri (DUN) Hairul Nizam Tohar berkata setakat semalam, lebih 500 mangsa menerima bantuan berkenaan termasuk Bantuan Wang Ihsan (BWI) dari kerajaan persekutuan.

“Kita terima lebih 3,000 permohonan dan kebanyakannya layak terima. Bantuan akan diberikan secepat mungkin kerana banyak peralatan dan barangan rumah rosak dilanda banjir.

“Sumbangan ini juga dapat digunakan untuk perbelanjaan sambutan Tahun Baharu Cina selain membeli barangan keperluan sekolah,” katanya kepada SelangorKini.

Pada 21 Disember tahun lalu, Kerajaan Negeri menyediakan dana RM100 juta bagi permulaan program Bantuan Selangor Bangkit susulan banjir di beberapa daerah pada 18 Disember.

Selain pemulihan prasarana, peruntukan itu meliputi bantuan RM10,000 kepada waris korban banjir dan RM1,000 kepada ketua isi rumah bagi membaik pulih semula kediaman.

Individu yang layak menerima bantuan melibatkan tiga kategori iaitu mangsa yang berpindah ke pusat pemindahan sementara berwarta, swasta serta mereka yang kekal di rumah.


Pengarang :