Selangorkini
Dato’ Teng Chang Khim (kanan) mengangkat tilam untuk diagihkan kepada mangsa banjir sekitar Bandar Baru Klang pada 23 Disember 2021. Foto BERNAMA
ADN SELANGOR

Lebih 4,000 mangsa bah Bandar Baru Klang mohon bantuan negeri

SHAH ALAM, 10 JAN: Lebih 4,000 permohonan Bantuan Selangor Bangkit bernilai RM1,000 diterima daripada penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Baru Klang yang terjejas banjir bulan lalu.

Daripada jumlah itu, sekitar 500 isi rumah menerima sumbangan berkenaan setiap hari dan akan disegera bagi memastikan lebih ramai mendapat manfaat, kata wakil rakyatnya.

“Kita sasar jumlah penerima dinaikkan sehingga 2,000 sehari bagi menyelesaikan segera agihan. Mangsa yang belum memohon diminta segera berbuat demikian sebelum 31 Januari,” jelas Dato’ Teng Chang Khim.

Pada 21 Disember, Kerajaan Negeri mengumumkan dana RM100 juta bagi permulaan program Selangor Bangkit susulan insiden banjir di beberapa daerah pada Disember 2021.

Selain pemulihan infrastruktur, peruntukan itu meliputi bantuan RM10,000 kepada waris korban banjir dan RM1,000 kepada ketua isi rumah bagi membaik pulih semula kediaman.

Individu yang layak menerima bantuan melibatkan tiga kategori iaitu mangsa yang berpindah ke pusat pemindahan sementara berwarta, swasta serta mereka yang kekal di rumah.

Bantuan diagih mulai 28 Disember dan dijangka selesai hujung bulan ini.


Pengarang :