Penerima membuat pendaftaran bagi mendapatkan nombor giliran bagi permudahkan urusan penyerahan Bantuan Selangor Bangkit kepada mangsa banjir di Dewan MBSA Jalan Kebun, Shah Alam pada 10 Januari 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMAPILIHAN MINGGUANSELANGOR

Lebih 43,000 keluarga terjejas banjir terima bantuan RM1,000

SHAH ALAM, 23 JAN: Seramai 43,112 keluarga terjejas banjir bulan lalu menerima bantuan Kerajaan Negeri berjumlah RM1,000 setakat 10 pagi tadi.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sumbangan menerusi Bantuan Selangor Bangkit (BSB) itu melibatkan belanja RM43.232 juta termasuk agihan RM120,000 kepada 12 waris korban.

Berdasarkan infografik dikongsikan di Facebook, daerah Klang paling ramai menerima sumbangan membabitkan 11,888 isi rumah diikuti 11,241 penduduk Petaling dan 7,120 di Hulu Langat.

Turut menerima sumbangan sama di Kuala Langat (5,279), Sepang (3,966), Kuala Selangor (2,588), Gombak (898), Hulu Selangor (93) dan Sabak Bernam (39).

Pagi tadi beliau memaklumkan menerima 70,000 permohonan bantuan terbabit dengan lebih separuh darinya sudah mendapat manfaat.

Beliau berkata negeri mempunyai kemampuan kewangan untuk menyalurkan bantuan terbabit meskipun menyasarkan 30,000 penerima sebelum ini.

Pada 21 Disember tahun lalu, Kerajaan Negeri menyediakan dana RM100 juta bagi permulaan program BSB susulan banjir di beberapa daerah pada 18 Disember.

Selain pemulihan prasarana, peruntukan itu meliputi bantuan RM10,000 kepada waris korban banjir dan RM1,000 kepada ketua isi rumah bagi membaik pulih semula kediaman.

Individu yang layak menerima bantuan melibatkan tiga kategori iaitu mangsa yang berpindah ke pusat pemindahan sementara berwarta, swasta serta mereka yang kekal di rumah.


Pengarang :