Tony Leong Tuck Chee menyerahkan bantuan Program Kembali ke Sekolah kepada 300 pelajar sekitar DUN Pandamaran pada 14 Januari 2022. Foto Facebook Tony Leong Tuck Chee
ADNSELANGOR

Lebih 600 pelajar susah sekitar Pandamaran terima bantuan RM100, beg sekolah

SHAH ALAM, 30 JAN: Seramai 300 pelajar kurang berkemampuan sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Pandamaran menerima bantuan RM100 menerusi Program Kembali ke Sekolah.

Wakil rakyatnya Tony Leong Tuck Chee berkata inisiatif disumbang Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI itu merupakan langkah meringankan beban keluarga untuk menyediakan keperluan persekolahan.

“Saya turun ke 10 sekolah bagi mengagihkan bantuan ini. Dalam masa sama saya dapat melihat sendiri pelajar berkenaan di samping mengetahui bentuk bantuan diperlukan sekolah.

“Semoga sumbangan ini dapat meringankan beban keluarga pelajar terbabit. Kita harap sumbangan ini menaikkan semangat pelajar,” katanya kepada SelangorKini.

Tahun ini MBI memperuntuk RM1.68 juta bagi menjayakan program berkenaan melibatkan seramai 16,800 pelajar di seluruh DUN.

Sementara itu Leong berkata sebanyak 350 beg Tabung Warisan Anak Selangor (Tawas) turut diagih kepada pelajar berkelayakan awal bulan ini sebagai usaha melengkapkan keperluan sekolah pelajar.


Pengarang :