Penyerahan Bantuan Selangor Bangkit kepada mangsa banjir di Dewan MBSA Jalan Kebun, Shah Alam pada 10 Januari 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Lebih RM54 juta dibelanja, bantu 53,908 keluarga terkesan banjir

SHAH ALAM, 31 JAN: Sebanyak RM54.038 juta dibelanja Kerajaan Negeri untuk sumbangan Bantuan Selangor Bangkit (BSB) setakat hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata jumlah itu memanfaatkan seramai 53,908 keluarga terjejas banjir bulan lalu termasuk waris korban bencana.

“Alhamdulillah sehingga akhir bulan Januari, Bantuan Selangor Bangkit RM1,000 berjaya diberikan kepada 53,908 keluarga yang terkesan dengan peruntukan RM54.038 juta termasuk bantuan kepada keluarga yang kehilangan ahli tersayang akibat banjir,” katanya.

Bercakap dalam dalam perutusan sempena Tahun Baharu Cina 2022 hari ini, Amirudin turut memaklumkan kerja pembersihan pascabah di kawasan paling terjejas siap sepenuhnya.

“Kini kita memasuki fasa pemulihan infrastruktur termasuk jalan negeri, infrastruktur komunikasi serta saliran dan rumah yang hanyut akibat banjir,” katanya.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180 milimeter, mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

Susulan itu, pada 21 Disember tahun lalu, Kerajaan Negeri menyediakan dana RM100 juta bagi permulaan program BSB susulan banjir di beberapa daerah pada 18 Disember.

Selain pemulihan prasarana, peruntukan itu meliputi bantuan RM10,000 kepada waris korban banjir dan RM1,000 kepada ketua isi rumah bagi membaik pulih semula kediaman.

Individu yang layak menerima bantuan melibatkan tiga kategori iaitu mangsa yang berpindah ke pusat pemindahan sementara berwarta, swasta serta mereka yang kekal di rumah.


Pengarang :