Pengunjung membeli barangan keperluan bagi persiapan menyambut perayaan Thaipusam di Little India, Klang pada 15 Januari 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Little India Klang jadi tumpuan masyarakat Hindu beli barang sempena Thaipusam

KLANG, 15 JAN: Beberapa hari menjelang sambutan Thaipusam, Little India Klang, Jalan Tengku Kelana di sini kembali menjadi tumpuan masyarakat Hindu untuk membeli-belah.

Tinjauan Selangorkini mendapati barangan seperti herba, kapur barus, daun kunyit, botol susu, periuk tanah liat, kacang, pakaian dan aksesori mendapat permintaan tinggi dalam kalangan pengunjung.

Peniaga herba, Ravi Muthupillay, 62, berkata sejak tiga hari lalu, premisnya dikunjungi ramai pelanggan khususnya peniaga kecil yang mahu mendapatkan herba dalam kuantiti banyak.

Ravi Muthupillay, 67

“Kebanyakan pelanggan merupakan peniaga kecil yang membuat pembelian untuk perniagaan mereka sendiri sebelum dijual kepada orang lain.

“Sambutan agak baik tetapi tidaklah seperti tahun-tahun sebelum Covid-19 melanda negara. Sekarang kita masih terikat dengan tatacara operasi piawai (SOP), jadi hasil jualan sedikit perlahan,” katanya yang mengusahakan perniagaan itu sejak tiga dekad lalu.

Bagi peniaga aksesori wanita Kavitha Murugasan, 50, jualan seperti gelang, rantai dan anting-anting di tiga unit kedai miliknya laris berikutan potongan harga yang ditawarkan kepada pelanggan sejak awal bulan ini.

Kavitha Murugasan, 50

“Saya tawar diskaun 10 hingga 20 peratus untuk semua aksesori yang dijual di sini sempena musim perkahwinan termasuk perayaan Thaipusam sehingga April ini. Pelanggan boleh dapat harga serendah RM5.

“Disebabkan itu, pelanggan tak putus-putus masuk ke kedai, namun tetap mengutamakan SOP dengan hanya membenarkan sejumlah pelanggan masuk ke premis pada satu-satu masa,” katanya.

 


Pengarang :