Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor (LZS) Saipolyazan M Yusop menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir ketika LZS turun padang menjalankan bancian dan semakan rumah mangsa banjir di Kampung Bukit Lanchong, Shah Alam pada 11 Januari 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

LZS lulus 30,000 permohonan bantuan banjir, diagih sejak Disember

SHAH ALAM, 11 JAN: Lembaga Zakat Selangor (LZS) meluluskan kira-kira 30,000 permohonan bantuan untuk keluarga mangsa banjir setakat hari ini.

Ketua pegawai eksekutifnya berkata sumbangan tunai RM600 setiap keluarga melalui inisiatif LZS Peduli disalur secara berperingkat sejak 28 Disember tahun lalu.

“Kita menerima sebanyak 50,000 permohonan untuk fasa pertama dan kedua. Daripada jumlah itu, hanya 18 peratus yang ditolak disebabkan dokumen dikemuka tidak lengkap.

“Bagaimanapun, permohonan fasa kedua masih dibuka sehingga 31 Januari ini,” kata Saipolyazan M Yusop.

Beliau berkata demikian selepas turun padang bagi program bancian dan semakan kelayakan baik pulih rumah mangsa bencana di Kampung Bukit Lanchong dekat sini hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor (LZS) Saipolyazan M Yusop bercakap kepada media ketika LZS turun padang menjalankan bancian dan semakan rumah mangsa banjir di Kampung Bukit Lanchong, Shah Alam pada 11 Januari 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Permohonan bantuan boleh dibuat melalui pautan www.zakatselangor.com.my/lzspeduli manakala proses secara manual dikhususkan kepada warga emas tidak mahir teknologi.

Pada 20 Disember tahun lalu, agensi Kerajaan Negeri itu mengumumkan sumbangan RM600 kepada ketua keluarga fakir dan miskin termasuk bukan asnaf terjejas banjir di Selangor.

Sebanyak RM10,000 turut diagihkan kepada setiap ketua operasi agihan daerah sebagai bantuan kecemasan mangsa banjir selain RM250,000 bagi sumbangan makanan kering dan barangan keperluan asas.


Pengarang :