Foto Facebook LZS
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

LZS peruntuk lebih RM32 juta bantu persekolahan 66,160 pelajar asnaf

SHAH ALAM, 10 JAN: Seramai 66,160 pelajar prasekolah hingga menengah dalam kalangan keluarga asnaf menerima bantuan persekolahan Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Agensi menerusi Facebook memaklumkan bantuan pendidikan bagi sesi 2022 membabitkan kesan kewangan sebanyak RM32.6 juta.

Daripada jumlah itu, katanya, setiap pelajar sekolah rendah kebangsaan menerima kelengkapan sekolah pada kadar RM170, sekolah rendah agama (RM150) dan sekolah menengah (RM200).

“Pelajar ini akan menerima pakaian seragam, kasut, stokin, beg dan alat tulis. Bantuan yuran persekolahan antara RM100 hingga RM200 seorang turut diberi bergantung kepada tahap persekolahan,” katanya.

LZS menambah pelajar berkenaan turut menerima bantuan tambahan berjumlah RM100 seorang bagi menampung keperluan persekolahan lain.

“Ia akan disalurkan melalui tiga kaedah bayaran iaitu kredit dalam akaun bank ketua keluarga, baucer tunai (V-Cash) di mana-mana cawangan Bank Islam atau secara tunai bagi kes tertentu.

“Kami amat berterima kasih kepada semua pengeluar zakat kerana anak ini dapat menerima manfaat bagi persediaan persekolahan mereka tahun ini,” katanya.


Pengarang :