Wakil Lembaga Zakat Selangor (LZS) ketika menziarahi Pak Rosli di Kuang pada 15 Januari 2022. Foto Facebook LZS
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

LZS santuni keluarga datuk remaja curi tabung masjid

SHAH ALAM, 16 JAN: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyantuni datuk kepada remaja yang ditahan kerana cuba mencuri wang tabung masjid yang kononnya mahu membeli ubat untuknya.

Agensi menerusi Facebook berkata pihaknya menemui lelaki dari Kuang itu yang juga salah seorang asnaf sejak 2019 bagi mendapatkan gambaran sebenar kisah tersebut.

“Kami menziarahi datuknya semalam (Jumaat) bagi mendapatkan pengesahan sama ada beliau memerlukan bantuan perubatan untuk penyakit kencing manisnya.

“Pak Rosli mengesahkan yang beliau tidak memerlukannya sebagaimana yang dilaporkan,” katanya, menambah lelaki itu juga memaklumkan ibu remaja terbabit kini tinggal bersamanya selepas hilang pekerjaan ketika Perintah Kawalan Pergerakan.

LZS menjelaskan pihaknya membuat bancian semula kerana berlaku pertambahan tanggungan Pak Rosli selain bantuan makanan bulanan akan disalurkan kepada mereka sekeluarga.

“Tindakan lanjut untuk membantu remaja tersebut untuk proses pemulihan sedang diuruskan bersama agensi yang berkaitan bagi mendapatkan pandangan dan status perundangan terlebih dahulu,” katanya.

Khamis lepas, Mahkamah Majistret Selayang menjatuhkan hukuman penjara 10 hari dan denda RM4,000 ke atas Daniel Iskandar, 19, selepas remaja tersebut mengaku cuba mencuri tabung masjid pada 8 Januari.

Media sebelum ini melaporkan tular di media sosial video selama satu minit 25 saat yang memaparkan tindakan jemaah sebuah masjid memandikan remaja itu seperti jenazah serta melumurkannya dengan kapur barus kerana mencuri tabung masjid.


Pengarang :