Pengerusi Mais Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof (tiga, kanan) menyampaikan sumbangan kotak makanan kepada salah seorang penerima bantuan dalam Program Tautan Kasih Mais di Sungai Lui pada 8 Januari 2022. Foto ihsan Mais
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Mais belanja RM38.1 juta, agih makanan bantu mangsa banjir

SHAH ALAM, 8 JAN: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) memperuntuk sebanyak RM38.1 juta bagi membantu mangsa banjir negeri ini dalam insiden 17 Disember lalu.

Pengerusinya berkata bantuan diagih ke masjid dan surau, sekolah, pusat tahfiz serta individu yang mengalami kerosakan rumah dan harta benda.

Menurut Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, sumbangan meliputi tunai, set makanan asasi, keperluan asas, pakaian sekolah, pembersihan dan baik pulih kerosakan.

“Mais amat prihatin dengan keperluan ummah dan apabila berlaku ujian seperti ini, Mais dan anak syarikat segera membantu mereka yang memerlukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata dana disumbangkan Baitulmal Mais, Lembaga Zakat Selangor (LZS), Yayasan Islam Darul Ehsan, Bakti Suci Holding Sdn Bhd serta Jabatan Agama Islam Selangor.

Jelasnya, Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd pula berperanan membekalkan pek makanan asas kepada mangsa banjir negeri ini bawah peruntukan Mais dan LZS.

“Mais juga bersyukur dan berterima kasih kepada Majlis Agama Islam Negeri-Negeri dan Pusat Zakat Negeri atas sumbangan kepada mangsa banjir di Selangor,” kata Abdul Aziz.

Sumbangan dana dan makanan asas daripada agensi seperti berikut:

  • Majlis Agama Islam Perlis – 200 kotak makanan asas
  • Majlis Ugama Islam Sabah – Dana RM100,000
  • Majlis Agama Islam Johor – 2,000 kotak makanan
  • Majlis Agama Islam Perak – Dana RM150,000
  • Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan – Dana RM3,000,000 bagi membina semula rumah asnaf
  • Lembaga Zakat Negeri Kedah – 12,000 kampit beras
  • Majlis Agama Islam Pulau Pinang & Zakat Pulau Pinang – Dana RM150,000

 


Pengarang :