Selangorkini
Pengerusi Mais Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof melancarkan perkhidmatan nasihat guaman percuma menerusi platform K-Guam di Dewan Syarahan dan Muzakarah Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada 27 Januari 2022. Foto: Mais
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Mais sedia nasihat guaman syariah percuma, secara dalam talian

SHAH ALAM, 27 JAN : Majlis Agama Islam Selangor (Mais) melancarkan platform K-Guam iaitu perkhidmatan nasihat perundangan syariah percuma secara dalam talian.

Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata inisiatif itu membantu masyarakat di negeri ini mendapatkan khidmat nasihat guaman dengan lebih mudah dan pantas.

“Platform K-Guam menawarkan dua perkhidmatan iaitu berkaitan perundangan sivil dan syariah seperti perkahwinan, penceraian dan keluarga; hibah, hartanah, wasiat dan pusaka; wakaf dan jenayah.

“Kebiasaanya khidmat nasihat dikenakan bayaran, namun kita tawar secara percuma. Ia juga platform perkhidmatan dalam talian perundangan pertama ditubuhkan Mais dengan kerjasama Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) dan Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM),” katanya.

Beliau berkata dalam sidang media selepas Majlis Perutusan Pengerusi Mais dan Pelancaran Platform K-Guam di Dewan Syarahan dan Muzakarah Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah hari ini.

Beliau berkata 50 peguam bertindak sebagai penasihat sejak platform itu beroperasi 28 Disember tahun lalu sehingga kini.

“Perkhidmatan ini dijalankan secara dalam talian melalui e-mel, WhatsApp, panggilan telefon atau panggilan video tanpa perlu pemohon hadir ke pejabat Mais,” katanya.

Orang ramai yang ingin mendapatkan perkhidmatan K-Guam, boleh melayari pautan
https://www.mais.gov.my/k-guam/ atau maklumat lanjut berhubung platform itu boleh didapati di laman web Mais di www.mais.gov.my.


Pengarang :