Penerima vaksin mendapatkan suntikan dos penggalak vaksin Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Covid-19 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur pada 15 Januari 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Malaysia rekod trend peningkatan kes Covid-19 pada Minggu Epidemiologi ketiga

KUALA LUMPUR, 24 JAN: Malaysia merekodkan trend peningkatan kes baharu Covid-19 bagi Minggu Epidemiologi ketiga (ME 3/2022) dari 16 hingga 22 Januari, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata kes baharu itu meningkat sebanyak 7.9 peratus iaitu daripada 22,006 kes pada ME 2/2022 (9 hingga 15 Januari) kepada 23,752 kes pada ME 3/2022.

“Purata kes aktif turut dilihat meningkat sebanyak 2.4 peratus dengan purata sebanyak 39,507 kes pada ME 2/2011 kepada 40,473 kes pada ME 3/2022.

“Walau bagaimanapun, kes kematian menunjukkan penurunan konsisten sebanyak 19.0 peratus dengan 102 kematian pada ME 3/2022 berbanding 126 kematian pada ME 2/2022. Penurunan ini dicatatkan mulai ME 52/2021,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan Covid-19 hari ini.

Dr Noor Hisham berkata kes yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) juga menunjukkan penurunan sebanyak 30.3 peratus iaitu 129 kes (ME 3/2022) berbanding 185 kes (ME 2/2022).

Katanya penurunan kes ICU secara konsisten telah dilaporkan sejak ME 33/2021 dengan sedikit peningkatan kepada kes ICU pada ME 44/2021 dan penurunan semula kes ICU secara konsisten dicatatkan sejak 10 minggu lalu pada ME 45/2021.

Selain itu, katanya purata kes yang memerlukan alat bantuan pernafasan turut menunjukkan penurunan 23.5 peratus iaitu 52 kes (ME 3/2022) berbanding 68 kes (ME 2/2022) dengan purata itu kekal menurun semenjak 22 minggu yang lalu, manakala purata nilai RT meningkat sebanyak 2.0 peratus daripada 0.99 pada ME 2/2022 kepada 1.01 pada ME 3/2022.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan 88 kluster baharu dilaporkan pada ME 3/2022, melibatkan pusat pendidikan (62), tempat kerja (18), kumpulan berisiko tinggi (empat) dan masing-masing satu membabitkan komuniti, keagamaan, import dan pusat tahanan.

Mengenai kes baharu Covid-19 hari ini, Dr Noor Hisham berkata sebanyak 3,214 kes dicatatkan hari ini dengan 35 kes (1.1 peratus) daripadanya adalah Kategori Tiga, Empat dan Lima manakala 3,179 kes (98.9 peratus) terdiri daripada Kategori Satu dan Dua.

“Daripada 3,214 kes itu, sebanyak 406 adalah kes import dan 2,808 pula adalah kes tempatan manakala yang memerlukan rawatan di ICU ialah 112 kes dengan 40 kes memerlukan bantuan pernafasan.

– BERNAMA


Pengarang :