Foto Twitter Amirudin Shari
AGENDANASIONAL

Mangsa bah Kuala Selangor boleh periksa kenderaan secara percuma

SHAH ALAM, 5 JAN: Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC) menawarkan khidmat nasihat dan pemeriksaan percuma untuk kenderaan mangsa banjir, kata Dato’ Menteri Besar.

Penelitian termasuk ruang enjin dan penumpang serta casis meliputi kondisi kenderaan, minyak pelincir, kotak gear, cecair, brek, stereng dan unit kawalan elektronik.

Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan bantuan asas servis turut tersedia, namun pemilik kenderaan perlu menyediakan barang berkaitan.

“Inisiatif oleh STDC ini sangat bermanfaat dan mampu mengurangkan beban kewangan mangsa banjir,” tulisnya di Twitter hari ini.

Sementara itu, wakil STDC Faizal Azmi ketika dihubungi berkata perkhidmatan tersebut khusus buat mangsa banjir sekitar Kuala Selangor sahaja.

“Buat masa ini saya dimaklumkan inisiatif ini hanya ditawarkan kepada mereka yang terlibat dengan banjir di Kuala Selangor,” katanya.

Sebelum ini, STDC melalui kumpulan khidmat teknikal elektrikal bekerjasama dengan Majlis Bandaraya Shah Alam membaik pulih barangan elektrik mangsa bencana yang rosak.

Sebanyak 90 peratus barangan elektrik berjaya diselenggara seperti soket alir keluar, suis lampu, kipas, perkakas elektrik mudah alih dan kotak fius agihan antara 27 Disember hingga 1 Januari lalu.


Pengarang :