Selangorkini
Pegawai Daerah Kuala Langat Mohd Jusni Hashim (dua, kanan) disertai Ahli Dewan Negeri (ADN) Morib Hasnol Baharuddin (kiri) menyampaikan Bantuan Selangor Bangkit (BSB) kepada seorang mangsa banjir di Pejabat Tanah dan Daerah Kuala Langat pada 16 Januari 2022. Foto ihsan Mohd Jusni Hashim
AGENSI SELANGOR

Mangsa banjir Kuala Langat belum dapat bantuan RM1,000 digesa ke pejabat daerah

SHAH ALAM, 17 JAN: Mangsa banjir sekitar Kuala Langat yang tidak hadir semasa majlis penyampaian Bantuan Selangor Bangkit (BSB) boleh mendapatkannya di pejabat tanah dan daerah.

Pegawai Daerah berkata pihaknya mengesan kurang 10 peratus daripada 5,271 ketua isi rumah belum menerima sumbangan bernilai RM1,000 pada sesi serahan fasa satu dan dua dijalankan sehingga semalam.

“Sehingga kini, seramai 465 keluarga terjejas menerima bantuan bagi fasa satu manakala 3,806 fasa kedua. Proses agihan berjalan lancar, cuma ada sebilangan kecil tidak tampil.

“Bagaimanapun, kita beri peluang kepada individu berkaitan untuk hadir secara terus ke pejabat tanah dan daerah selepas tarikh program penyampaian,” kata Mohd Jusni Hashim ketika dihubungi hari ini.

Beliau memaklumkan pembayaran secara pemindahan dalam talian turut dilaksana buat mangsa bencana yang menyertakan nombor akaun bank pada borang permohonan.

Beberapa kenderaan ditenggelami air selepas banjir melanda Kampung RTB Bukit Changgang, Kuala Langat pada 22 Disember 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Pada 21 Disember tahun lalu, Kerajaan Negeri menyediakan dana RM100 juta bagi permulaan program BSB susulan banjir di beberapa daerah pada 18 Disember.

Selain pemulihan prasarana, peruntukan itu meliputi bantuan RM10,000 kepada waris korban banjir dan RM1,000 kepada ketua isi rumah bagi membaik pulih semula kediaman.

Individu yang layak menerima bantuan melibatkan tiga kategori iaitu mangsa yang berpindah ke pusat pemindahan sementara berwarta, swasta serta mereka yang kekal di rumah.

Bantuan diagih mulai 28 Disember dan dijangka selesai hujung bulan ini.


Pengarang :