Penduduk Taman Sri Nanding, Hulu Langat membersihkan semula kediaman pascabanjir ketika tinjauan pada 22 Disember 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Mangsa banjir lega dikecuali bil air, tampung kos beli perkakas elektrik

SHAH ALAM, 6 JAN : Pengecualian bayaran bil air selama sebulan kepada mangsa banjir yang diumumkan Kerajaan Negeri melegakan banyak pihak.

Lizal Mohd Sani

Lizal Mohd Sani, 38, berkata wang yang sepatutnya digunakan bayar bil air boleh menampung serba sedikit pembelian perkakasan elektrik yang musnah dilanda bah.

“Sekurang-kurangnya boleh tampung untuk kami beli periuk nasi atau dapur gas…semua sudah rosak. Alhamdulillah ada pengecualian ini,” katanya kepada SelangorKini.

Norhaidayu Mat Setafar

Manakala, Norhaidayu Mat Setafar,40, berkata kerja pembersihan pascabanjir memerlukan penggunaan air yang banyak dan kerap yang boleh memberi kesan kepada bil bulanan.

“Lega sangat apabila dapat tahu tidak perlu bayar air selama sebulan, sebelum ini bimbang juga jika bil air melambung kerana guna air sangat banyak ketika cuci rumah.

“Inisiatif ini mungkin dianggap kecil bagi sesetengah pihak namun bagi mangsa banjir seperti kami besar maknanya, saya bersyukur dan berterima kasih kepada Kerajaan Negeri,” katanya.

Pada 21 Disember, Kerajaan Negeri mengumumkan dana RM100 juta bagi permulaan program Bantuan Selangor Bangkit susulan insiden banjir di beberapa daerah dua minggu lalu.

Selain pemulihan infrastruktur, peruntukan itu meliputi pengecualian bayaran bil air selama sebulan kepada akaun terjejas.


Pengarang :