Hasbi Ayan, 50, bersama anaknya membersihkan peralatan rumah yang dipenuhi lumpur akibat banjir di Kampung Jawa, Batu 19, Hulu Langat pada 1 Januari 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Mangsa banjir lega dikecuali bil air, tidak runsing tanggung kos pembersihan

HULU LANGAT, 2 JAN: Inisiatif Kerajaan Negeri mengecualikan bayaran bil air untuk mangsa banjir melegakan penduduk terbabit yang tidak perlu runsing menanggung perbelanjaan untuk kerja pemulihan pascabanjir.

Nooraseha Mohd Yahaya, 37

Nooraseha Mohd Yahaya,37, berkata kerja pembersihan rumah dan kenderaan diselaputi lumpur memerlukan penggunaan air yang banyak dan memberi kesan kepada bil bulanan.

“Mujur Kerajaan Selangor beri pengecualian bayaran bil selama sebulan, lega juga dan tidak runsing memikirkan bayaran tinggi.

“Memang ini membantu kami yang juga terpaksa menanggung perbelanjaan lain seperti mengganti perabot rosak,” kata ibu kepada tiga anak ketika ditemui di rumahnya di Kampung Jawa Batu 18 di sini.

Bagi Hasbi Ayan, 50, penjimatan daripada pengecualian bil air selama sebulan itu boleh digunakan untuk membeli keperluan atau barangan yang rosak ketika banjir.

Hasbi Ayan,50

“Untuk kerja pembersihan ini kami perlu guna air banyak untuk membersihkan kediaman serta barang-barang benar-benar bersih.

“Jadi tentunya bayaran bil pasti tinggi, bila ada pengecualian dapat kami berjimat dan gunakannya untuk membeli barang keperluan,” katanya yang juga menetap di Kampung Jawa Batu 18.

Pada 21 Disember, Kerajaan Negeri mengumumkan dana RM100 juta bagi permulaan program Selangor Bangkit susulan insiden banjir di beberapa daerah dua minggu lalu.

Selain pemulihan infrastruktur, peruntukan itu meliputi pengecualian bayaran bil air selama sebulan kepada akaun terjejas.


Pengarang :