Perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) disediakan Rapid Rail di sekitar Kuala Lumpur. Foto Facebook Rapid KL
AGENDANASIONAL

Masalah teknikal punca jadual perjalanan MRT laluan Kajang lewat

KUALA LUMPUR, 5 JAN: Kelewatan jadual perjalanan perkhidmatan MRT Laluan Kajang pagi ini adalah disebabkan masalah teknikal yang berlaku di Stesen MRT Phileo Damansara, menurut Rapid Rail Sdn Bhd.

Rapid Rail dalam kenyataan memaklumkan kejadian berpunca daripada masalah teknikal yang dialami sebuah tren ketika menghampiri stesen terbabit.

Berikutan itu, pihak operasi telah mengaktifkan pelan servis alternatif dengan menggunakan satu landasan antara Stesen Phileo Damansara dengan Stesen Semantan.

“Pengguna dari arah Kwasa Sentral perlu turun dan mendapatkan tren perantara di Stesen Phileo Damansara ke Stesen Semantan dan seterusnya meneruskan perjalanan seperti biasa.

“Sebaliknya, pengguna dari arah Kajang perlu turun dan mendapatkan tren perantara di Stesen Semantan ke Stesen Phileo Damansara. Situasi ini menyebabkan pergerakan tren menjadi lebih perlahan dan berhenti lebih lama di platform,” menurut kenyataan itu.

Menurut Rapid Rail, kerja-kerja mengenal pasti masalah giat dijalankan oleh pasukan teknikal selain memastikan pengguna dapat meneruskan perjalanan ke tempat kerja dengan selamat.

Rapid Rail juga memohon maaf atas kesulitan dialami pengguna akibat kelewatan jadual perjalanan laluan tersebut dan memaklumkan pelan servis alternatif akan terus diaktifkan sehingga perkhidmatan kembali normal.

Pengguna diminta untuk mengikuti status terkini perkhidmatan MRT menerusi platform media sosial Rapid KL bagi mendapatkan maklumat terkini.

Terdahulu, Rapid KL dalam laman Facebook memaklumkan MRT Laluan Kajang mengalami masalah teknikal di stesen MRT Phileo Damansara.

– BERNAMA


Pengarang :