Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor Dato’ Mohd Shazihan Ahmad bercakap kepada media selepas Majlis Pelancaran Dana Wakaf al-Quran di Banguan Sultan Idris Shah, Shah Alam pada 5 Januari 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Masjid, surau negeri terkesan banjir dibuka dua minggu lagi

SHAH ALAM, 5 JAN: Masjid dan surau negeri ini yang terkesan banjir dibuka semula selewat-lewatnya dua minggu lagi, kata Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad menjelaskan proses pembersihan di semua rumah ibadat telah selesai dan kini melibatkan pemasangan karpet serta pendawaian.

Beliau menambah insiden bah bulan lalu menjejaskan 33 masjid, 90 surau, 56 sekolah rendah agama kelolaan jabatan itu selain 34 maahad tahfiz swasta.

“Selain memusnahkan naskhah al-Quran, banjir turut merosakkan struktur tanah, bangunan, barang elektrik dan kemudahan asas,” katanya selepas melancarkan Tabung Dana Wakaf al-Quran (Pascabanjir) di sini.

Sementara itu, katanya, sesi persekolahan kendalian Jais bermula minggu depan seperti dijadualkan setelah tertangguh akibat banjir teruk.

“Segala kerosakan sudah dikemukakan kepada Kerajaan Negeri untuk tindakan lanjut. Kita yakin peruntukan selayaknya diberikan,” kata Mohd Shahzihan.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180 milimeter mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

 


Pengarang :