Mangsa banjir mendaftar kehadiran sebelum menerima Bantuan Selangor Bangkit (BSB) di Dewan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Lombong, Seksyen 29, Shah Alam pada 6 Januari 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: 23,767 mangsa banjir terima bantuan negeri RM1,000

SHAH ALAM, 9 JAN: Seramai 23,767 keluarga terjejas banjir bulan lalu menerima bantuan Kerajaan Negeri berjumlah RM1,000 setakat pagi tadi.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sebanyak RM23.877 juta dibelanjakan untuk sumbangan melalui Bantuan Selangor Bangkit (BSB).

Menurut info grafik dikongsi beliau di Twitter, seramai 11 waris korban bencana di Klang, Sepang, Hulu Langat, Kuala Langat turut menerima bantuan masing-masing RM10,000.

Daerah Petaling paling ramai menerima sumbangan membabitkan 6,609 isi rumah diikuti 5,781 penduduk Hulu Langat manakala 4,882 di Klang.

Turut menerima sumbangan sama ialah 2,326 isi rumah di Sepang, Kuala Langat (1,890), Kuala Selangor (1,548), Gombak (645), Hulu Selangor (51) dan Sabak Bernam (35).

Pada 21 Disember tahun lalu, Kerajaan Negeri menyediakan dana RM100 juta bagi permulaan program BSB susulan banjir di beberapa daerah pada 18 Disember.

Selain pemulihan prasarana, peruntukan itu meliputi bantuan RM10,000 kepada waris korban banjir dan RM1,000 kepada ketua isi rumah bagi membaik pulih semula kediaman.

Individu yang layak menerima bantuan melibatkan tiga kategori iaitu mangsa yang berpindah ke pusat pemindahan sementara berwarta, swasta serta mereka yang kekal di rumah.

Bantuan diagih mulai 28 Disember dan dijangka selesai hujung bulan ini.


Pengarang :