Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan sumbangan ketika Majlis Penyerahan Bantuan Selangor Bangkit (BSB) Fasa 1 Daerah Petaling di Dewan MBSA Paya Jaras Tengah, Shah Alam pada 28 Disember 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB: 27,383 keluarga mangsa banjir terima bantuan RM1,000

SHAH ALAM, 11 JAN: Sebanyak RM27.493 juta dibelanja Kerajaan Negeri untuk sumbangan Bantuan Selangor Bangkit (BSB) setakat hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata seramai 27,383 keluarga terjejas banjir bulan lalu menerima bantuan berjumlah RM1,000.

Menurut infografik dikongsinya di Twitter, seramai 11 waris korban bencana di Klang, Kuala Langat, Sepang dan Hulu Langat turut menerima bantuan masing-masing RM10,000.

Petaling merekodkan keluarga paling ramai menerima sumbangan iaitu 8,373 isi rumah diikuti Hulu Langat (6,477) dan Klang (6,067).

Turut menerima sumbangan sama ialah 2,356 isi rumah di Sepang, Kuala Langat (1,890), Kuala Selangor (1,548), Gombak (645), Hulu Selangor (92) dan Sabak Bernam (35).

Pada 21 Disember tahun lalu, Kerajaan Negeri menyediakan dana RM100 juta bagi permulaan program BSB susulan banjir di beberapa daerah pada 18 Disember.

Selain pemulihan prasarana, peruntukan itu meliputi bantuan RM10,000 kepada waris korban banjir dan RM1,000 kepada ketua isi rumah bagi membaik pulih semula kediaman.

Individu yang layak menerima bantuan melibatkan tiga kategori iaitu mangsa yang berpindah ke pusat pemindahan sementara berwarta, swasta serta mereka yang kekal di rumah.

Bantuan diagih mulai 28 Disember dan dijangka selesai hujung bulan ini.


Pengarang :