Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan Bantuan Selangor Bangkit kepada penduduk terkesan banjir di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Serai, Hulu Langat pada 29 Disember 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: 6,913 keluarga terjejas banjir terima bantuan RM1,000

SHAH ALAM, 2 JAN: Kerajaan Negeri membelanjakan sejumlah RM6.913 juta untuk Bantuan Selangor Bangkit (BSB) setakat hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata jumlah itu memanfaatkan seramai 6,913 keluarga terjejas banjir dengan masing-masing memperoleh RM1,000.

“Selain itu, dua keluarga mangsa yang meninggal dunia turut telah menerima RM10,000 seperti pengumuman pada 21 Disember yang lalu,” katanya menerusi Twitter.

Pada 21 Disember tahun lalu, Kerajaan Negeri mengumumkan dana RM100 juta bagi permulaan program Selangor Bangkit susulan insiden banjir di beberapa daerah dua minggu lalu.

Selain pemulihan infrastruktur, peruntukan itu meliputi bantuan RM10,000 kepada keluarga mangsa banjir yang terkorban dan RM1,000 kepada ketua isi rumah bagi membaik pulih semula kediaman.

Individu yang layak menerima bantuan melibatkan tiga kategori iaitu mangsa yang berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) berwarta, swasta serta mereka yang kekal di rumah.

Bantuan diagih mulai 28 Disember lalu dan dijangka selesai agihan hujung bulan ini.


Pengarang :