Selangorkini
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan sumbangan kepada balu Allahyarham Mohd Ikram Bakri, Noradilah Abd Kadir, 36, di Taman Indah Jaya Petaling Jaya pada 11 Januari 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

MB: Bantuan Selangor Bangkit selesai diagih Februari

PETALING JAYA, 11 JAN: Bantuan Selangor Bangkit (BSB) melibatkan pengagihan sumbangan antaranya RM1,000 kepada keluarga mangsa banjir dijangka selesai menjelang Februari depan, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata setakat semalam lebih 25,000 ketua isi rumah sudah menerima bantuan membabitkan perbelanjaan lebih RM25 juta.

Menurutnya, pada masa sama pihaknya juga agresif mendaftarkan mangsa banjir tidak berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).

“Kita jangka penerimanya lebih 30,000 keluarga seperti sasaran awal.

“Mungkin dapat diselesaikan pengagihan menjelang Februari, selepas itu Kerajaan Negeri akan mulakan program lain seperti Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas) dan pembaikan rumah mangsa banjir,” katanya..

Beliau ditemui selepas menziarahi dan menyampaikan sumbangan kepada balu Allahyarham Mohd Ikram Bakri, Noradilah Abd Kadir, 36, di Taman Indah Jaya di sini hari ini.

Mohd Ikram, kakitangan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) meninggal dunia akibat sakit jantung ketika membantu membersihkan rumah terjejas banjir pada 5 Januari lalu.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada media selepas menyerahkan sumbangan kepada balu Allahyarham Mohd Ikram Bakri di Taman Indah Jaya, Petaling Jaya pada 11 Januari 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Pada 21 Disember tahun lalu, Kerajaan Negeri menyediakan dana RM100 juta bagi permulaan program BSB susulan banjir di beberapa daerah pada 18 Disember.

Selain pemulihan prasarana, peruntukan itu meliputi bantuan RM10,000 kepada waris korban banjir dan RM1,000 kepada ketua isi rumah bagi membaik pulih semula kediaman.

Individu yang layak menerima bantuan melibatkan tiga kategori iaitu mangsa yang berpindah ke pusat pemindahan sementara berwarta, swasta serta mereka yang kekal di rumah.


Pengarang :